Saman Tanah: PKA, KDSB Selesai Luar Mahkamah - Berita Mahkamah | mStar

Saman Tanah: PKA, KDSB Selesai Luar Mahkamah

Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 5:01 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Saman difailkan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), kontraktor utama bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diselesaikan di luar mahkamah pada Isnin.

PKA menyaman KDSB berhubung pembetulan pada perjanjian jual beli 1,000 ekar (405 hektar) tanah bagi projek PKFZ bernilai RM1.88 bilion.

Peguam Cindy Khaw yang mewakili PKA memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar bahawa anak guamnya telah menarik balik saman itu selepas kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

"Saya juga memohon kepada mahkamah supaya tiada perintah dikeluarkan bagi kos," katanya.

Peguam mewakili KDSB, Chetan Jethwani tidak membantah permohonan itu.

Azimah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan.

PKA, pada 25 Sept 2009, memfailkan saman sivil terhadap KDSB, bagi membetulkan perjanjian itu yang ditandatangani pada 12 Nov, 2002 untuk tanah bernilai RM1.88 bilion.

Antara lain, ia memohon perintah bagi pembayaran semula oleh KDSB kepada PKA sebanyak RM324 juta, PKA juga memohon deklarasi tidak perlu dikenakan faedah daripada RM720 juta pada baki harga beli tanah di bawah perjanjian itu dan memohon bayaran balik faedah yang telahpun dibayar kepada KDSB.

PKA berhujah terdapat kesilapan-kesilapan dan penipuan dalam perjanjian itu dan nilai setiap kaki persegi tanah itu sepatutnya berharga RM21, dan bukannya RM25.

PKA juga mendakwa harga belian itu sudah termasuk kadar faedah seperti dinyatakan dalam perjanjian itu dan ia akan dibayar dalam tempoh 15 tahun.

KDSB dilantik oleh PKA pada 2003 untuk membangunkan PKFZ atas tapak seluas 405 hektar bersebelahan dengan Pelabuhan Utara di Klang.


Tags / Kata Kunci: Mahkamah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan