Transgender: Kerajaan Negeri Sembilan Fail Notis Kebenaran Merayu

Diterbitkan: Jumaat, 5 Disember 2014 7:42 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sembilan dan empat yang lain pada Jumaat memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan di sini bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan sebagai tidak sah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) Enakmen 1992 yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam yang berpakaian wanita. 

Dua wakil dari Pejabat Penasihat Uundang-undang Negeri Sembilan telah mengemukakan notis itu di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada pukul 4.30 petang.

Dalam permohonan itu, pemohon mengemukakan tujuh persoalan undang-undang. 

Seorang pemohon dalam kes sivil perlu mohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dahulu sebelum boleh meneruskan dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Empat lagi pemohon ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Ketua Pendakwa Raya Syarie Negeri Sembilan dan kerajaan negeri.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan bahawa peruntukan itu mendiskriminasi golongan lelaki Islam yang mengalami gangguan dikenali sebagai kecelaruan identiti jantina (GID). 

Hakim Hishamudin berkata Seksyen 66 yang menghukum lelaki Islam yang berpakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat-tempat awam, tidak memberikan pengecualian bagi penghidap GID tetapi mengabaikan mereka (penghidap GID) dan menyebabkan mereka tertakhluk secara tidak adil di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mahkamah Rayuan telah dengan sebulat suara membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai juru mekap pengantin iaitu Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 melanggar perlembagaan dan tidak sah.

(Mahkamah Rayuan) mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang menolak permohonan mereka untuk mengisytiharkan Seksyen 66 melanggar Perlembagaan.

Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol, dalam semakan kehakiman telah menamakan Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri

Sembilan, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Ketua
Pendakwa Raya Syarie Negeri Sembilan sebagai responden.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan