Ong Tee Keat Saman Robert Phang RM12 Juta

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2014 4:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Kiat memfailkan saman terhadap Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial Tan Sri Robert Phang bagi menuntut ganti rugi RM12 juta berhubung kenyataan berunsur fitnah yang disiarkan dalam beberapa akhbar berbahasa Cina, Jun lepas.

Saman itu difailkan Ong selaku plaintif menerusi Tetuan Tan, Goh & Associates di kaunter e-filing Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Bagaimanapun, kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini.

Media memperoleh salinan dokumen itu daripada peguam Tan Foong Luen, yang mewakili Ong ketika mengadakan sidang media di sini, Rabu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Ong, 58, mendakwa Robert atau nama sebenarnya Phang Miow Sin, 75, selaku defendan, secara palsu dan berniat jahat telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam artikel yang disiarkan di Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily, China Press dan Oriental Daily, pada Jun lepas.

Ong, yang juga bekas presiden MCA mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang tidak mengenang budi, hipokrit dan tidak beretika.

Ong mendakwa beliau melalui peguamnya telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 19 Ogos lepas kepada Phang, antara lain menuntut supaya beliau menarik balik kenyataan akhbar itu dan memohon maaf, namun Phang enggan berbuat demikian.

Justeru itu, Ong menuntut ganti rugi am sebanyak RM8 juta, ganti rugi teruk RM4 juta, ganti rugi teladan, faedah dan kos.

Tan ketika sidang media berkata pihaknya telah menulis surat kepada peguam S.N Nair, yang mewakili Phang bagi memaklumkan mengenai penyerahan writ saman itu.

Tags / Kata Kunci: Saman Fitnah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan