Madu Ghaib: Permohonan Daftar Nikah Suami Mangsa MH370 Didengar Esok

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2014 2:20 PM

Lelaki yang didakwa suami kepada seorang mangsa MH370 ketika melangsungkan majlis perkahwinan baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Permohonan daftar nikah suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Khamis.

Terdahulu sumber memberitahu mStar Online, lelaki terbabit memfailkan permohonan daftar nikah di mahkamah tersebut pada awal November selepas bernikah untuk kali kedua di Songkla, Thailand.

Bapa kepada empat anak itu menghadapi kesukaran untuk mendaftar nikah kali kedua kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isteri seperti yang dituntut walaupun isterinya merupakan penumpang pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi.

"Sijil kematian isterinya juga tidak dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah kali kedua dalam negara, oleh itu pasangan itu ke Songkla, Thailand dan kini terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah," kata sumber.

Menurut sumber, peguam yang mewakili lelaki terbabit akan memohon untuk menangguhkan sebutan kes kerana terdapat masalah yang belum diselesaikan.

"Esok memang ada sebutan, tetapi peguam mohon kes itu ditangguhkan ke satu tarikh baharu kerana ada masalah yang belum diselesaikan," kata sumber.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.

Menurut sumber itu lagi, lelaki berkenaan telah bernikah kali kedua dengan seorang wanita yang berasal dari Muar, Johor dan bekerja di ibu negara.

"Majlis meraikan pasangan pengantin baharu ini juga dilangsungkan secara kecil-kecilan di sebuah homestay di Langat bulan lalu," katanya.

Isteri lelaki terbabit merupakan antara 239 penumpang pesawat MH370 yang hilang pada awal pagi 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Beijing.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.

Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Bagaimanapun, usaha mengesan pesawat itu terus buntu kerana tiada sebarang bukti ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan.


Tags / Kata Kunci: madu ghaib , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan