Pencerobohan Lahad Datu: Tertuduh Ketakutan Ketika Ditangkap

Diterbitkan: Jumaat, 28 November 2014 9:36 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu ditemui dalam keadaan ketakutan ketika dia ditangkap, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Komando VAT69 Inspektor Mohd Rezuan Juragan, 30, berkata semasa beliau dan pasukannya menuju kawasan belukar di mana Basad H. Manuel bersembunyi di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada 2 Mac tahun lepas, mereka menemui lelaki itu dalam keadaan "cemas, menggeletar dan takut."

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang menghadapi pelbagai pertuduhan berhubung pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed, saksi itu berkata yang juga Komander Trup 11 Skuadron D VAT69 berkata beliau dan pasukannya menemui Basad membongkok dalam semak.

Menurutnya beliau dan anggotanya memaksa lelaki itu keluar dari tempat persembunyiannya selepas dia mengabaikan amaran pasukan VAT69 supaya menyerah diri.

"Saya membuat pemeriksaan badan dan mendapati dia (tertuduh) memakai dua tali berwarna gelap dililit di pinggang, yang saya percaya adalah tangkal.
 
"Selepas merampas beg galas yang dia (tertuduh) campakkan, saya memeriksa beg jenama 'Sport' berwarna hitam itu dan di dalamnya ada beberapa barang," katanya.

Mohd Rezuan berkata beliau memeriksa beg itu di depan tertuduh dan menjumpai tiga keping kad tertera nama Basad H. Manuel dan kemeja T berlengan panjang berwarna hitam dengan cetakan perkataan "North Borneo Sultanate Republic" dan "Peace, Freedom, Democracy".

Pada perkataan itu juga terdapat ukiran bulan sabit sementara bahagian hadapan pakaian itu menunjukkan gunung dan "RSF" pada kolar di sebelah belakang.

Pasukan itu juga menemui kemeja T berlengan pendek warna hitam dengan bahagian depan tertera perkataan "PNP" dan "Special Action Force", dan imej pedang serta sepasang seluar penyamaran dengan tulisan jawi, katanya.

Mohd Rezuan berkata dalam beg itu juga terdapat bendera kecil dipercayai bendera Sulu, tali pinggang kanvas berwarna hijau dengan tertera perkataan "Hukbong Kapihan Ng Philipinas 1897" pada pengancingnya, sebilah pisau dan telefon bimbit Nokia 6120 C-1.

Ketika disoal Abdul Wahab jika beliau pasti lelaki yang ditangkap itu Basad H. Manuel, saksi itu berkata lelaki itu telah mengaku sambil menganggukkan kepalanya apabila ditanya sama ada nama pada kad itu ialah namanya.

Sebelum Basad ditangkap, Mohd Rezuan berkata beliau dan pasukannya menjalankan pemantauan di sektor D di Kampung Tanduo apabila ternampak tertuduh kira-kira 15 hingga 20 meter jauh dari situ dan empat lelaki lain kira-kira 15 hingga 20 meter di belakang Basad.

Beliau berkata Basad dan tiga lelaki itu memakai pakaian awam manakala seorang lagi memakai pakaian penyamaran penuh dan membawa senjata api.
 
"Kami sempat melepaskan beberapa das tembakan di mana kami nampak empat lelaki itu dan kemudian kami dengar bunyi tembakan.

"Kami mengambil perlindungan dan sebahagian kami bertiarap untuk mengelak dari terkena tembakan yang kami percaya datang dari orang yang membawa senjata api," katanya.

Selepas insiden tembak-menembak itu, Mohd Rezuan berkata beliau dan pasukannya melihat kempat-empat lelaki itu berlari menuju ke kawasan semak tetapi tidak mengejar mereka kerana bimbangkan keselamatan jika mereka cuba menarik mereka ke dalam perangkap.

Seramai 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan yang dibicarakan itu berdepan satu atau pelbagai pertuduhan.

Mereka didakwa menganggotai kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 1 Disember ini.

Tags / Kata Kunci: pencerobohan Lahad Datu

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan