Dua Suspek Disyaki Militan Ditahan Di Kampung Tanjung Batu

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2014 4:50 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki dipercayai anggota kumpulan militan Sulu, di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Rabu.

Lans Koperal Mohd Hisyamuddin Ramlie, 29, yang bertugas dengan Batalion ke-17 PGA, berkata kedua-dua lelaki itu ditahan ketika PGA mengadakan operasi untuk memburu tujuh hingga lapan lelaki yang dilihat oleh seorang pemberi maklumat di kampung itu pada pagi 3 Mac tahun lepas.

Dalam keterangannya pada perbicaraan 30 tertuduh yang berdepan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas, saksi ke-53 itu berkata pasukannya yang disertai empat anggota, ternampak sekumpulan enam suspek disyaki militan.

Beliau berkata ada antara suspek itu berpakaian celoreng manakala yang lainnya berpakaian orang awam. Mereka berjalan dalam satu barisan namun bersurai dan bertempiaran lari ke arah kawasan semak setelah beliau melepaskan tembakan amaran.

"Saya ternampak lalang tinggi paras lutut (di kawasan semak-samun tempat enam lelaki itu berlari masuk) dan lalang yang rebah dipercayai dilalui orang. Lalu, saya mengambil keputusan untuk memeriksa lalang yang rebah itu.

"Saya nampak dua lelaki berada di dalam kawasan cerun di semak-samun itu dalam keadaan meniarap dan muka ke tanah," katanya, dan menambah lelaki terbabit berpakaian orang awam.

Mohd Hisyamuddin, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, berkata beliau kemudiannya menjerit dua kali: "Angkat tangan di atas kepala. Kami polis" tetapi arahannya itu tidak diendahkan.

"Setelah mereka tidak mengendahkan arahan saya, saya melepaskan satu das tembakan di sebelah kiri saya untuk memberi amaran supaya mereka naik ke atas (di kawasan tinggi tempat anggota PGA berada)," katanya.

Apabila kedua-dua lelaki itu naik ke tempat anggota PGA berada, Mohd Hisyamuddin berkata beliau dan seorang lagi anggota PGA, Lans Koperal Awang Yussuf Awang Hashim mengikat tangan kedua-dua suspek dengan tali pinggang yang dipakai suspek terbabit.

Kata saksi itu, beliau dan Awang Yussuf kemudian melakukan pemeriksaan tubuh ke atas kedua-dua lelaki itu tetapi tidak menjumpai apa-apa.

Mohd Hisyamuddin berkata beliau kemudian memaklumkan tentang penahanan itu kepada komander platun, Inspektor Zairie Surani dan menyerahkan kedua-dua suspek kepada pegawai itu di pos kawalan PGA di Tanjung Labian.

Di mahkamah, Mohd Hisyamuddin mengenal pasti lelaki yang ditahan itu sebagai Holland Kalbi dan Lin Mad Salleh yang merupakan tertuduh dalam kes berkenaan.

Beliau berkata ketika ditahan kira-kira 8.45 pagi, Holland memakai baju-T kuning dan berseluar jeans, manakala Lin pula berbaju-T hitam dan berseluar jeans.

Katanya pegawai pemerintah Batalion ke-17 Supt Edward Koromol turut datang ke pos kawalan PGA Tanjung Labian untuk melihat dua lelaki yang ditahan Mohd Hisyamuddin dan pasukannya serta seorang lagi lelaki yang memakai seluar coklat dan baju-T celoreng yang ditahan Zairie juga pada pagi itu.

Saksi itu berkata beliau dan dua lagi anggota PGA mengikut Zairie ke balai polis Cenderawasih untuk membuat laporan berhubung penahanan itu.

Di dalam kandang tertuduh adalah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan yang berdepan satu atau pelbagai pertuduhan.

Mereka didakwa menganggotai kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

Tags / Kata Kunci: Militan , Sulu

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan