Anak Sosilawati Dapatkan Kebenaran Cabar JPN Keluarkan Sijil Kematian

Diterbitkan: Selasa, 25 November 2014 1:22 PM

Salah seorang anak kepada jutawan kosmetik Datuk Sosilawati yang mati dibunuh pada 2010.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang mati dibunuh pada 2010, pada Selasa mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk satu semakan kehakiman yang mewajibkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian untuk arwah ibu mereka.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan di dalam kamar daripada peguam Mohd Iskandar Ismail yang mewakili anak-anak Allahyarham Sosilawati dam Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari mewakili JPN.

Mohd Iskandar memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 8 Disember sebagai tarikh pengurusan kes. Ia akan menetapkan satu lagi tarikh untuk mendengar merit kes bagi semakan kehakiman.


Anak-anak hartawan itu ialah Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 28, Md Erwan Nasri, 27, Erni Erinawati Sofia, 25, Erni Rineelawati, 24, dan Siti Nur Fatimah, 17 memfailkan permohonan pada 24 September, menamakan JPN sebagai responden tunggal.

Mereka memohon antara lain, satu perintah membatalkan keputusan JPN (pada 25 Julai) untuk tidak mengeluarkan sijil kematian bagi Sosilawati, yang dibunuh di sebuah ladang di Banting, Selangor.

Dalam surat mereka kepada JPN, lima beradik itu menyatakan bahawa mereka memerlukan sijil kematian untuk membolehkan mereka mengagihkan harta arwah ibu mereka kepada waris-warisnya.

Erwan Suwari Rizuwan, dalam afidavit sokongannya mendakwa bahawa JPN dalam penjelasan lisannya berkata sijil kematian tidak dapat dikeluarkan untuk Sosilawati kerana tiada jasad yang ditemui dan seperti yang diperuntukkan di bawah Sekyen 18, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, jika tiada jasad yang ditemui, orang itu akan dianggap hilang.

Beliau menyatakan bahawa disebabkan itu JPN berkata Seksyen 108 Akta Keterangan boleh digunakan jika seseorang itu tidak dapat ditemui atau dihubungi selepas tujuh tahun atau dia akan dianggap mati dan satu pengisytiharan kematian boleh dibuat.

Bagaimanapun Erwan Suwari Rizuwan berkata terdapat beberapa keadaan istimewa dalam kes ibunya kerana mahkamah boleh mengisytiharkan dia meninggal dunia berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan dalam kes perbicaraan pembunuhan ibunya, walaupun jasadnya tidak ditemukan atau tempoh tujuh tahun sudah berlalu.

JPN dalam surat bertarikh 25 Julai 2014 kepada keluarga Sosilawati menyatakan bahawa pendaftaran kematian Sosilawati hanya boleh dipertimbangkan selepas pelupusan kes rayuan itu oleh keempat-empat yang dituduh dalam perbicaraan kes pembunuhannya oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan menetapkan lima hari dari 5 Februari 2015 untuk mendengar rayuan itu.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang - T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan - selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, 44.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan