Bekas Pengarah Sumber Manusia Didakwa Terima Rasuah RM170,000

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 1:52 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas pengarah sumber manusia sebuah syarikat swasta dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM170,000 bagi mengekalkan kontrak pekerja asing untuk syarikat lain bulan lepas.

Khrishan Kumar A/L Chint Ram, 53, bekas pengarah sumber manusia syarikat Teleflex Medical Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Berdasarkan pertuduhan, Khrishan Kumar didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM170,000 daripada Pengarah Nada Persada Sdn Bhd, Ng Lay Leng sebagai dorongan untuk mengekalkan kontrak Nada Persada bagi pembekalan pekerja asing kepada syarikat Teleflex.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Caffe Cino, Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor pada 8 malam, 21 Oktober lepas.

Khrishan Kumar, yang diwakili peguam Muhammad Adhwa' Azfar Muhammad Tajuddin, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Hakim kemudian menetapkan RM30,000 sebagai jaminan dan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail. 


Tags / Kata Kunci: SPRM , Teleflex Medical , Nada Persada

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan