Kes Lahad Datu: Suspek Tukar Atau Matikan Telefon Bimbit - Pegawai SB

Diterbitkan: Jumaat, 14 November 2014 7:28 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang suspek yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas dipercayai menukar atau mematikan telefon bimbitnya selang beberapa minit semasa polis menjalankan operasi untuk mengesannya, seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Jumaat. 

ASP Nik Adzian Wan Ismail, 40, berkata beliau ditugaskan untuk mengesan dua nombor telefon bimbit Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 50-an, di Semporna pada 22 Mac tahun lepas, tetapi peralatan mengesan pegawai SB itu tidak dapat mengesan isyarat daripada kedua-dua telefon bimbit itu serentak.

"Pada awal tugasan saya untuk mengesan isyarat telefon Datu Amir Bahar, peralatan saya dapat mengesan isyarat lemah kedua-dua nombor fon (telefon)
tersebut.

"Kedua-dua nombor tersebut kerap ditukar atau dimatikan selang beberapa minit dan ini menyukarkan saya menentukan kedudukan sebenar telefon tersebut," katanya.

Nik Adzian, yang memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang berdepan pelbagai pertuduhan berhubung pencerobohan Lahad Datu, berkata nombor yang diserahkan kepadanya untuk dikesan adalah 012-8104507 dan 017-8953979, bagaimanapun nombor pertama lebih kerap muncul pada skrin peralatan mengesannya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar tentang arah isyarat lemah telefon itu dikesan, pegawai SB itu berkata peralatan yang digunakannya mengesan isyarat itu kira-kira 12 tengah hari pada 22 Mac tahun lepas dari arah belukar dan kawasan paya berhampiran sebuah rumah terpencil di Kampung Sri Melur di Bugaya, Semporna, lokasi seorang lagi suspek, Norhaida Ibnahi, 47, dikesan dan ditahan pada pagi itu.

Sekitar 12.30 pagi pada 23 Mac tahun lepas, setelah mendapati tiada perkembangan lanjut dalam usaha mengesan kedudukan Datu Amir Bahar, Nik Adzian memberitahu mahkamah beliau dan pasukannya membuat keputusan untuk berundur kira-kira 500 meter dari kawasan tempat beliau mengesan isyarat lemah telefon sebelum itu.

Kira-kira sejam selepas beredar dari situ, saksi itu berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai penyelaras operasi, ASP Wan Kamal Rizal Wan Daud bahawa Datu Amir Bahar berjaya ditahan.

Mohd Dusuki: Apa yang kamu lakukan selepas diberitahu Datu Amir Bahar telah ditahan?

Nik Adzian: Saya memeriksa tiga telefon bimbit yang dirampas dan diserahkan kepada saya oleh seorang daripada pegawai pasukan menangkap (yang menangkap Datu Amir Bahar).

Mohd Dusuki: Apa yang kamu periksa pada ketiga-tiga telefon bimbit itu?

Nik Adzian: Saya memeriksa data Identiti Peralatan Mudah Alih Antarabangsa (IMEI) ketiga-tiga telefon bimbit tersebut dan membandingkan data IMEI yang dipaparkan pada skrin peralatan pengesanan saya untuk tujuan mengenal pasti telefon bimbit yang digunakan oleh Datu Amir Bahar.

Mohd Dusuki: Apakah hasil daripada pemeriksaan kamu ke atas ketiga-tiga telefon bimbit itu?

Nik Adzian: Saya dapati salah satu telefon mempunyai data IMEI yang sama (dengan data yang dipaparkan pada skrin peralatan pengesanan) dan ini menunjukkan telefon itu digunakan oleh Datu Amir Bahar.

Nik Adzian berkata pada masa sama, beliau mendapati nombor telefon pada telefon bimbit itu, yang mempunyai IMEI sama, juga sepadan dengan satu daripada nombor telefon bimbit yang dikesannya iaitu 012-8104507.

Terdahulu, saksi itu berkata beliau dan pasukannya mengesan empat lagi suspek yang membawa kepada penahanan mereka di Semporna - Tani Lahaddahi, 60-an, yang ditahan di sebuah rumah di Kampung Perigi pada 10 Mac 2013; Abdul Majil Jubin, 40-an, dan Basil Samiul, 34, ditahan di dalam sebuah Perodua Viva putih di Jalan Lihak-Lihak pada 13 Mac 2013; dan Abdul Hadi Mawan, 50, yang ditahan di sebuah rumah di Taman Keilah pada 14 Mac 2013.

Datu Amir Bahar dan Norhaida bersama empat lagi adalah antara 30 tertuduh dalam perbicaraan itu.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, sesetengahnya menghadapi beberapa tuduhan seperti menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung 24 November.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan