Jururawat Dihukum Penjara Lapan Tahun Guna Duit Palsu - Berita Mahkamah | mStar

Jururawat Dihukum Penjara Lapan Tahun Guna Duit Palsu

Diterbitkan: Ahad, 2 November 2014 7:53 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Gara-gara menggunakan wang palsu untuk membeli sebuah iPad, seorang jururawat sebuah hospital awam dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, Ahad.

Hakim Mohd Yusoff Yunus memerintahkan Nor Aziarina Ismail, 30, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 6 Disember 2013, selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa menggunakan 10 keping wang kertas palsu RM100 (berjumlah RM1,000) dan menyerahkan wang bagi bayaran iPad itu kepada Abdul Mu'iz Ahmad, 20, di hadapan sebuah restoran makanan segera di Wakaf Che Yeh di sini pada 9 malam, 22 November tahun lepas.

Nor Aziarina yang bertugas di sebuah hospital awam di negeri ini, didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tags / Kata Kunci: Wang Palsu , Nor Aziarina Ismail
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan