Kes Liwat II: Hari Keempat, Giliran Muhammad Shafee Sangkal Hujah

Diterbitkan: Jumaat, 31 Oktober 2014 10:02 AM

Muhammad Shafee ditemuramah pihak media sebaik prosiding hari ketiga selesai pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan, di mana tiba giliran pasukan pendakwaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyangkal hujah yang dikemukakan pihak pembelaan.


Prosiding yang masuk hari keempat ini bermula pada pukul 9 pagi dan dijangka berakhir pada pukul 4 petang.

Difahamkan, Anwar tiba di Mahkamah Persekutuan kira-kira pukul 8.55 pagi.

Turut kelihatan memasuki kamar prosiding ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang tiba pada pukul 8.30 pagi.

Sama seperti prosiding yang dijalankan pada Khamis, suasana di luar Istana Kehakiman, di sini, pada  Jumaat juga lengang dengan hanya beberapa kumpulan kecil penyokong.

Situasi ini nyata berbeza dengan suasana pada hari pertama dan kedua prosiding di mana penyokong Anwar memenuhi pekarangan bangunan Mahkamah Persekutuan sejak awal pagi.

Selain bersorak memberikan sokongan kepada ketua pembangkang, beberapa program seperti pidato, bacaan puisi dan persembahan nyanyian turut diadakan.

Sementara itu, Muhammad Shafee yang memohon kepada ketua panel lima hakim, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria untuk berhujah pada Jumaat, bermula dengan membentangkan fakta kes.

Pada Khamis, beliau yang akan menyampaikan hujah berseorangan memohon penangguhan kerana memerlukan masa lebih untuk memperhalusi alasan baharu yang dikemukakan pihak pembelaan dalam petisyen rayuan.

Sehingga Khamis, beliau berkata, pihak pendakwaan sudah menyiapkan 85 peratus daripada penghujahannya dan perlu menyediakan 15 peratus lagi bagi alasan baharu tersebut.

Selama tiga hari prosiding yang bermula Selasa, mahkamah telah mendengar penghujahan daripada peguam bela utama Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, serta peguam N Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh.

Pada Selasa, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan mengemukakan 46 alasan dalam petisyen rayuan yang baharu.

Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan yang memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.

Anwar, 67, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan