Edar Dadah: Wanita Thailand Ke Tali Gantung

Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 5:22 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang wanita warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Rabu selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 16,841 gram tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Rossarin Nuekaew, 33, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Pattaya, selatan Thailand, dituduh mengedar dadah berkenaan di bahagian lorong Terminal Bas Shahab Perdana di sini pada 8.15 malam 9 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata ketika membuat keterangan pembelaan bersumpah, tertuduh menyatakan tidak mengetahui kandungan dua bagasi yang dibawanya kerana dia hanya diarahkan seorang wanita bertudung untuk membawanya ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres.

Wanita itu mendakwa datang ke Malaysia kerana majikannya telah menaja percutiannya di Kuala Lumpur. 

"Tertuduh memberitahu datang dari Pattaya, Thailand dan tiba di pekan Danok untuk ke Changlun. Setibanya tertuduh di Danok, dia kemudian menghubungi seorang lelaki dan diarahkan supaya menaiki motosikal untuk ke Changlun bagi menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur.

"Tertuduh kemudian mendakwa didatangi seorang wanita bertudung yang sama-sama menaiki bas berkenaan dan meletakkan dua bagasi dalam bas berkenaan.

"Bas itu kemudian bergerak dan berhenti di Terminal Bas Shahab Perdana untuk mengambil penumpang lain. Wanita bertudung itu kemudian memberitahu tertuduh supaya menukar bas lain dan menyerahkan dua beg berkenaan kepada tertuduh," katanya.

Mohd Zaki berkata selepas diberi pertimbangan dan diteliti, keterangan Rossarin didapati bercanggah dengan saksi pendakwa selain dia ditangkap berjalan di terminal bas itu dengan membawa kedua-dua beg berkenaan.

"Keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai, percanggahan dan keterangan yang diragui. 

Pihak pendakwaan pula berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. 

Hukuman ini tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan digantung pada lehernya sampai mati," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala Rossarin diwakili peguam Ai Cha Ran a/l Din Chee Ron.

Tags / Kata Kunci: hukum gantung , edar dadah , Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan