Liwat 'Rancangan Diatur' - Hujah Peguam Bela

Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 10:54 AM

Antara sepanduk yang dibawa orang ramai yang menunggu prosiding pendengaran rayuan terakhir kes liwat kedua Anwar di Istana Kehakiman.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Prosiding pendengaran rayuan pada hari kedua menyaksikan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan hujah mengenai isu rancangan 'yang telah diatur' atas tuduhan liwat.


N Surendran mengemukakan hujah itu di hadapan barisan Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Surendran juga mengemukakan hujah bahawa Mahkamah Rayuan dalam menyabitkan Anwar, telah gagal mengambil kira kenyataan Anwar dari kandang tertuduh.

Peguam bela ketua pembangkang itu juga menegaskan mahkamah juga tidak mempertimbangkan bukti lain yang dikemukakan.

Pasukan pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, manakala Anwar diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan melibatkan 14 peguam.

Pendengaran rayuan terakhir  Anwar di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Ini kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.

Tags / Kata Kunci: N Surendran , liwat , Mahkamah Persekutuan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan