Isu Dakwat Kekal: Pegawai Kanan TUDM Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 7:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad pada Isnin diperintah membela diri oleh Mahkamah Tentera di sini atas pertuduhan membabitkan isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya pada tahun lepas.

Lima panel diketuai Yang Dipertua Kolonel Saadoon Hassan, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zaidi, 47, di akhir kes pendakwaan.

Anggota panel lain ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S. Nadzeer Salehuddin.

Saadoon dalam penghakimannya berkata Zaidi gagal mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertahanan bagi mengadakan sidang media berhubung isu dakwat kekal pada 1 Mei, tahun lepas.

Katanya, isu dakwat kekal adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sebuah agensi kerajaan dan seorang anggota tentera dilarang mengadakan sidang media dan menyiarkan artikel berkaitan kerajaan tanpa kelulusan kementerian berkenaan.

Panel hakim juga mendapati surat pertukaran kerja yang mengandungi maklumat pertukaran kerja tertuduh sebagai seorang penyelidik ke Kuala Lumpur telah didedahkan kepada orang lain yang bertentangan dengan perintah Majlis Angkatan Tentera No. 13 Tahun 1961.

"Anggota tentera dilarang untuk menerbitkan atau memberitahu maklumat rasmi pada mana-mana orang yang boleh menimbulkan kontroversi terhadap diri sendiri," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Zaidi yang bertugas sebagai pegawai pemerintah dari Pangkalan Udara Butterworth didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pertahanan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas pada 1 Mei 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Zaidi didakwa menyiarkan maklumat rasmi mengenai pertukaran tempat kerjanya kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Angkatan Tentera.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Sementara itu, Zaidi dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan lain termasuk melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik.

Panel lima hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaidi.

Tertuduh didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu di perkarangan surau Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas, Pulau Pinang, di Taman Bertam Indah, Kepala Batas dan di Pangkalan Udara Butterworth antara 1 Mei 2013 dan 3 Mei 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Sekysen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa TUDM Kapten Rose Anuar Aripin memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan. Tertuduh diwakili peguam Nasar Khan.

Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk tertuduh memberi keterangan secara bersumpah.

Tags / Kata Kunci: TUDM , SPR , Dakwat Kekal

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan