Rasuah: Lima Penjawat Awam, Seorang Pesara Polis Didakwa

Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 6:12 PM

Salah seorang anggota penguat kuasa (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth untuk didakwa kerana rasuah.

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Lima penjawat awam dan seorang pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima suapan antara 2013 dan 2014.

Tertuduh terdiri daripada tiga anggota polis dan seorang pesara polis iaitu Koperal Shahirul Abdul Hamid, 40; Sarjan Muhd Pakhri Hassan, 54; Sarjan Mejar Mohd Yusob Md Rodzi, 48; dan pesara polis. Nor Roslan Che Ros, 53.

Dua lagi tertuduh ialah Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Kementerian Dalam Negeri, Alias Md Yusof, 40; dan Pembantu Penguat Kuasa, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Amran Che Anin, 38.

Empat tertuduh menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah daripada Ng Lap Ken, 47, supaya tidak mengenakan tindakan terhadapnya yang menjalankan perniagaan video cakera padat (VCD) dan cakera padat digital (DVD) haram di premis bernombor 89, Jalan Tingkat Kurau 4, Taman Chai Leng.

Kegiatan anggota penguat kuasa berkenaan dilaporkan mStar Online beberapa bulan lalu sehingga mereka ditahan baru-baru ini.

Alias menerima suapan bernilai RM1,500; Shahirul (RM500); Nor Roslan (RM250) dan Muhd Pakhri (RM500) dan mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 24 September 2013 dan 17 Oktober 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan terhadap keempat-empat tertuduh dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Shahirul diwakili peguam Abdul Aziz Ibrahim dan Muhd Pakhri diwakili peguam Rafael Abdullah.

Sementara itu, Amran dan Mohd Yusob menghadapi dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima suapan masing-masing bernilai RM500 dan RM1,000 daripada dua individu.

Amran dituduh meminta suapan bernilai RM500 daripada Mohamed Noor Azman Shaik Othman, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 7 Mac lepas dan tuduhan kedua, terima suapan RM500 pada tarikh sama di nombor 28, Tingkat 1, Taman Penanti, Jalan Penanti, Bukit Mertajam.

Mohamed Noor memberi suapan itu supaya tertuduh tidak mengenakan kompaun ke atas Puncak Mutiara Kristal Sdn Bhd yang melakukan kesalahan membuang sampah iaitu sisa makanan di Pasar Awam Penanti.

Mohd Yusob pula didakwa meminta suapan bernilai RM1,000 daripada Mohd Hasfikin Mohd Said pada 9 Mei lepas, manakala pertuduhan kedua menerima suapan RM1,000 pada 12 Mei lalu di bilik nombor 19, Pejabat Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.

Dia didakwa menerima suapan itu untuk membantu menutup kes Mohd Hasfikin yang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Amran dan Mohd Yusob dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan Pegawai Pendakwa, SPRM Mohd Firdaus Abdullah.

Hakim Julie Lack kemudian menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes dan masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.



Tags / Kata Kunci: pesara polis , VCD , DVD , suapan , SPRM , Taman Chai Leng

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan