Peronda Keselamatan Hadapi Tuduhan Culik

Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 3:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang peronda keselamatan warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang pelajar kolej swasta warga Pakistan, Mei lepas.

Priyanta Dharmasena, 27, didakwa bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas menculik pelajar lelaki berusia 20 tahun itu dengan melarikan dan mengurung mangsa di dalam sebuah kereta bagi mendapatkan wang tebusan RM2,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Kasipillay off Jalan Ipoh di sini pada 12.30 tengah hari, 5 Mei lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1962 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Priyanta yang tidak diwakili peguam mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa. Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Majistret Erry Shariman Nor Aripin memerintahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi dan menetapkan 10 Nov ini sebagai tarikh sebutan.

Di mahkamah sama, seorang peniaga warga Bangladesh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melarikan seorang rakan senegara awal bulan ini.

Delwar Hossain, 35, dituduh bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas melarikan pengurus syarikat, Md Fazlul Huq, 64, pada 4.30 petang, 1 Okt lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Sri Jati 1, Jalan Puchong di sini, dan didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Peguam Fairis Arshad yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya diikat jamin namun permohonan itu ditolak Erry Shariman atas alasan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.

Erry Shariman menetapkan 28 Okt untuk tarikh sebutan kes.

Kedua-dua pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.


Tags / Kata Kunci: Culik , Pakistan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan