Hina Islam: Bicara Kes Kassim Ahmad Ditangguh 14 Januari

Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 2:23 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad yang menghadapi tiga pertuduhan menghina agama Islam di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Isnin ditangguhkan ke 14 dan 15 Jan tahun hadapan kerana warga emas itu sakit.

Hakim Syarie Azzeman Omar menetapkan tarikh itu selepas anak Kassim, Ahmad Shauqi memaklumkan ayahnya sakit dan mengemukakan sijil cuti sakit ayahnya selama dua hari bermula Ahad daripada Hospital Daerah Kulim, Kedah.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Kassim memberitahu mahkamah bahawa bagi mengetahui mengenai kesihatan Kassim, mahkamah boleh memanggil Ahmad Shauqi untuk memberi penjelasan.

Ahmad Shauqi yang tinggal di Shah Alam memberitahu mahkamah bahawa ayahnya menghidap ghout, paru-paru berair dan tangan kanannya juga sakit dan beliau telah membawa ayahnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Saya telah pergi ke Kulim pada Sabtu malam. Esoknya saya bawa dia ke hospital. Dia memang nak datang hari ini. Ayah saya memang ada rekod sakit. Dia ada di rumah dan doktor telah memberikannya ubat," katanya ketika ditanya Hakim Azzeman sama ada ayahnya mempunyai rekod perubatan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu menjelaskan beliau pergi mengambil ayahnya yang tinggal di Kulim itu untuk menghadiri perbicaraan itu kerana dua lagi kakaknya berada di Perancis dan Australia.

Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Zainor Rashid Hassin, bagaimanapun mempertikaikan sijil cuti sakit itu kerana ia ditandatangani pegawai perubatan dan bukannya pakar dan juga tidak menyatakan jenis penyakit yang dihidapi Kassim.

"Sijil cuti sakit itu sepatutnya dilampirkan bersama butir-butir bahawa tertuduh tidak boleh hadir ke mahkamah hari ini," katanya yang turut membantah penangguhan perbicaraan kes itu yang ditetapkan hari ini dan esok sambil berkata pihak pendakwaan bersedia menjalankan kes itu.

Zainor Rashid juga mempersoalkan mengapa dua penjamin Kassim iaitu Marina Mahathir dan Norhayati Kaprawi tidak hadir sedangkan mereka sebagai penjamin sepatutnya hadir ke mahkamah pada setiap kali kes itu disebut.

Penjamin ketiga Fhansyurna Shalha Othman hadir dan beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau akan terus menjadi penjamin Kassim.

Hakim Azzeman berkata mahkamah menerima sijil cuti sakit Kassim dan percaya dengan keterangan anaknya bahawa tertuduh sakit dan tidak dapat hadir ke mahkamah.

"Memandangkan tertuduh tidak pernah tidak hadir sepanjang kesnya disebut di mahkamah, faktor usianya dan sakit ghoutnya, mahkamah akan menetapkan tarikh lain untuk perbicaraan," katanya.

Terdahulu Rosli menegur Zainor Rashid yang agak beremosi semasa mengendalikan kes itu, bagaimanapun Hakim Azzeman berkata "itu bukan emosi tetapi bersemangat," yang kemudiannya mengundang ketawa dari orang awam yang berada di dalam mahkamah.

Kassim, 82, didakwa menghina Islam dalam ucapannya pada seminar 'Pemikiran Kassim Ahmad: Penilaian Terhadap Peta Laluan Orang Melayu dan Malaysia untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Bagi pertuduhan kedua pula beliau didakwa memetik kandungan dua bukunya berjudul 'Hadith: Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadith: Jawapan Kepada Pengkritik' yang diharamkan Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan.

Pada awalnya, Kassim menghadapi dua pertuduhan, tetapi pada 17 Julai pendakwaan mendakwanya atas satu lagi pertuduhan iaitu mempertikai pemakaian hijab oleh wanita Islam dengan mendakwa kononnya menurut ajaran Islam, "rambut bukan sebahagian daripada aurat wanita".

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di premis Yayasan Perdana Global di Presint 8, di sini antara 9 pagi dan 5 petang pada 16 Feb 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(b) Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 9 akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau hukumn penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Tags / Kata Kunci: Hina Islam , Mahkamah , Kassim Ahmad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan