Saksi Tolak Andaian Orang Awam Jadi Benteng Penceroboh Sulu

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 8:06 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang komander platun Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak percaya dua lelaki tanpa senjata yang berpakaian awam bertindak sebagai benteng manusia bagi seorang lelaki bersenjata apabila berlaku tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 4 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Khamis.

Inspektor Shogghirajan Nagendram, 29, Komander Platun 7 Kompeni C Batalion ke-17 PGA, tidak bersetuju dengan hujah peguam Datuk N. Sivananthan semasa pemeriksaan balas apabila beliau membuat andaian bahawa kedua-dua lelaki bersenjata itu melindungi lelaki berkenaan, yang juga berpakaian awam dan membawa senjata api laras panjang, di belakang mereka ketika berjalan menuju ke satu kawasan yang komander platun dan anggotanya ditempatkan bagi mengepung kampung itu.

Saksi itu memberitahu bahawa dia sebelumnya telah dimaklumkan oleh komander kompeninya ASP Azman Madusin bahawa penduduk Kampung Tanduo telah dipindahkan.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang menghadapi pelbagai tuduhan bersabit dengan pencerobohan oleh kumpulan militan Sulu di Kampung Tanduo pada Februari tahun lepas.

Tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.

Pada hari beliau ternampak ketiga-tiga lelaki itu, Shogghirajan berkata, sebelum ini kira-kira pukul 3.40 petang, beliau menerima maklumat menerusi alat komunikasinya bahawa lima orang, dipercayai penceroboh, sedang menuju ke arah sektor kepungannya.

Selepas menerima maklumat itu, Shogghirajan berkata beliau mengarahkan orangnya berwaspada dan selepas lima minit meninjau keadaan melalui teropong, beliau ternampak tiga lelaki dari jarak 100-150 meter.

"Lelaki di belakang (dua lelaki tidak bersenjata) menghalakan senjatanya ke arah kami dan saya lihat jarinya pada picu senjata dan bersedia untuk menembak," kata beliau.

Apabila ketiga-tiga lelaki itu berada kira-kira 70-100 meter dan kerana bimbang keselamatan pasukan dan nyawanya, komander platun berkata beliau mengarahkan anggotanya untuk melepaskan tembakan, menyebabkan seorang lelaki tidak bersenjata rebah di atas tanah dan lelaki yang bersenjata melarikan diri manakala seorang lagi terus bergerak ke arah sektor kepungan sambil mengangkat kedua-dua tangannya dan menjerit "Felda, Felda" yang membawa kepada penangkapannya.

Shogghirajan mengenal pasti lelaki itu sebagai Virgilio Nemar Patulda @ Mohammad Alam Patulada, 50-an, iaitu seorang daripada tertuduh.

Sivananthan: Kamu menangkap tertuduh (Patulada) dan dia dengan jelas memberitahu kamu bahawa dia bukan dari Felda dan dia telah memberitahu namanya. Kamu juga berkata dia memberitahu kamu dia menyandang jawatan Mejar. Betul tak saya apabila beliau memberitahu kamu bahawa beliau berpangkat Mejar, kamu tidak tahu beliau berpangkat Mejar di organisasi mana?

Shogghirajan: Saya tidak tahu. Tetapi dia ada kaitan dengan penceroboh Sulu kerana kami diberitahu bahawa tidak ada orang awam di kampung itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada Jumaat.

Tags / Kata Kunci: penceroboh Sulu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan