Dua Calon PAS Gagal Gugurkan Kelayakan Dua Adun BN

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 8:59 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Khamis menolak rayuan dua calon PAS untuk membatalkan kelayakan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional dari Perak yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum tahun lepas. 

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menolak rayuan calon PAS Jamil Dzulkarnain dan Mohd Misbahul Munir Masduki yang masing-masing kalah kerusi DUN Manong dan Rungkup di Perak kepada ADUN BN Mohamed Kamil Shafie dan Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Jamil dan Dzulkarnain mengemukakan saman pemula pada Julai tahun lepas bagi membatalkan kemenangan kedua-dua Adun BN itu atas alasan mereka bukan penduduk negeri itu apabila bertanding pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lepas.

Hakim Mohamad Ariff berkata, mahkamah berpendapat bahawa saluran sedia ada untuk mencabar pemilihan seseorang calon adalah dengan mengemukakan petisyen pilihan raya seperti termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mahkamah akan memberi alasan penghakimannya pada satu tarikh kemudian.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun, tidak mengeluarkan apa-apa arahan berhubung dengan kos.

Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan kedua-dua Adun BN untuk membatalkan kedua-dua saman itu selepas memutuskan bahawa adalah tidak sesuai bagi calon PAS untuk mencabar keputusan pilihan raya umum dengan mengemukakan saman pemula.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Jamil yang meraih 7,174 undi kalah kepada Mohamed Kamil yang mendapat 7,405 undi manakala Shahrul Zaman memperoleh 6,415 undi, menewaskan Mohd Misbahul yang mendapat 5,802 undi. 

Dalam saman pemula mereka, kedua-dua calon PAS itu mendakwa bahawa kedua-dua wakil rakyat BN itu tinggal di luar Perak, dengan itu melanggar Perkara 30 Perlembagaan Negeri Perak yang memperuntukkan bahawa seorang Adun mestilah penduduk tetap Perak semasa dipilih.

Mereka memohon mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa wakil rakyat BN itu hilang kelayakan daripada menjadi anggota dewan undangan negeri.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun itu, dalam pembelaan, berkata mereka adalah penduduk Perak dan sebarang usaha untuk membatalkan kelayakan wakil rakyat hendaklah dilakukan melalui petisyen pilihan raya.

Jamil dan Mohd Misbahul diwakili peguam Chan Kok Keong manakala Mohamed Kamil dan Shahrul Zaman diwakili Datuk Hafarizam Harun dan Choo Shi Jin.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan