Muhammad Shafee Sesuai, Layak Ketuai Pasukan Pendakwaan

Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 6:39 PM

Muhammad Shafee Abdullah.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan bahawa peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah orang yang sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat di mahkamah itu pada 28 Oktober.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dalam keputusan sebulat suara berkata saluran sesuai bagi Anwar untuk mencabar pelantikan Muhammad Shafee ialah melalui semakan kehakiman dan bukan melalui notis usul.

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara "fiat" (kebenaran) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Arifin berkata panel itu mendengar hujah yang dikemukakan peguam Anwar iaitu Tommy Thomas bahawa peguam itu (Muhammad Shafee) telah bertindak sebagai pengerusi Suhakam semasa perbicaraan yang mendapati bahawa saksi utama kes liwat Supt (B) Jude Blacious Pereira adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai, tetapi panel mendapati tidak ada pertalian antara kedua-dua kes.

Mengenai isu Muhammad Shafee didenda RM5,000 oleh Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara kerana melanggar Akta Profesion Guaman, beliau berkata walaupun Muhammad Shafee didenda tetapi beliau tidak digugurkan daripada senarai daftar peguam.

"Alasan yang terpakai oleh pemohon bukan alasan yang kukuh untuk melucutkan kelayakan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya," kata Arifin.

Beliau berkata kesimpulannya, panel berpendapat bahawa pelantikan itu sama sekali tidak menjejaskan integriti rayuan utama (mengenai sabit kesalahan Anwar).

Hakim lain yang menganggotai pael itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abdul Hamid Embong dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Berikutan keputusan hari ini, Anwar gagal dalam percubaan kali ketiga untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee mengetuai pasukan pendakwa dan Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan akhir itu pada 28 dan 29 Oktober.

Anwar pada mulanya mencabar kesahihan pelantikan Muhammad Shafee di bawah Kanun Prosedur Jenayah tetapi permohonannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas.

Permohonan kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee, berdasarkan akuan berkanun oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim, juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan, pada 20 Disember tahun lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi peguam Anwar, R. Sivarasa memberitahu pemberita bahawa peguam Datuk Sulaiman Abdullah akan mengetuai pasukan pembela.

Mendiang Karpal Singh ialah peguam utama Anwar semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Rayuan.

Pada 9 Januari, 2012, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Bagaimanapun pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan mensabitkan Anwar atas kesalahan itu dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan