Mahkamah Perintah Pengharaman Dua Buku Zunar Ditarik Balik

Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 6:43 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis memerintahkan pengharaman terhadap dua buku karya 'Zunar' ditarik balik dan semua naskhah yang dirampas Kementerian Dalam Negeri pada 2010 dipulangkan kepada pelukis kartun itu. 

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dalam keputusan sebulat suaranya memutuskan tidak terdapat sebarang bukti kukuh bahawa buku berkenaan mengancam ketenteraman awam.

Dua lagi anggotanya ialah Datuk Varghese Goerge Varughese dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Mohamad Ariff berkata keratan akhbar yang dikemukakan dalam afidavit bagi menyokong tindakan kementerian itu amat jauh daripada memenuhi syarat yang diperlukan sebagai bukti.

Dalam penghakiman bertulisnya, Mohamad Ariff berkata berbeza dengan penulis politik serius, pelukis kartun politik gemar merendah-rendahkan seseorang atau sesuatu institusi secara berjenaka untuk menyampaikan mesejnya.

"Amat jarang sekali kartun politik mempunyai kesan dalam mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam atau keselamatan negara.

"Memanglah kartun berkenaan tidak bersopan, boleh merosakkan nama baik dan berbaur fitnah seperti yang dikatakan peguam dan membolehkan orang atau institusi terjejas untuk menyaman perayu mengikut undang-undang sewajarnya," kata beliau.

Varughese, dalam penghakimannya pula berkata keputusan menteri berkenaan mengharamkan buku itu atas alasan ia boleh memudaratkan ketenteraman awam, tidak disokong dengan bukti.

"Menteri berkenaan bertidak secara tidak munasabah dan tidak rasional apabila mengeluarkan perintah pengharaman secara menyeluruh dan Mahkamah Tinggi sepatutnya memberi perintah certiorari yang dimohon perayu serta mengetepikan perintah menteri itu pada 25 Mei, 2010," katanya.

MKINI Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan portal berita Malaysiakini dan penerbit Sepakat Efektif Sdn Bhd, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, pelukis kartun yang menggunakan nama pena 'Zunar', memfailkan dua permohonan berasingan untuk mencabar pengharaman dua buku berkenaan yang berjudul '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun'.

Pada 14 Julai 2011, Mahkamah Tinggi menolak permohoan semakan semula kehakiman yang dikemukakan perayu bagi mencabar pengharaman dan tindakan merampas 33 naskhah buku itu.

Zunar diwakili peguam Edmund Bon Tai Soon dan Aston Paiva, manakala peguam kanan persekutuan Noor Hisham Ismail mewakili menteri dalam negeri. 




Tags / Kata Kunci: Zunar , KDN , Mohamad Ariff Md Yusof

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan