Ganti Rugi RM351,000 Kepada Anak-Anak Akibat Bapa Dikatakan Mati Ditembak Polis

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2014 10:01 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiga anak perempuan yang kematian bapa dikatakan akibat ditembak polis, dianugerah sejumlah RM351,000 sebagai ganti rugi oleh Mahkamah Rayuan di sini Rabu. 

Mahkamah itu membenarkan tuntutan mereka atas kehilangan tempat bergantung berikutan kematian tersebut akibat tindakan polis itu. 

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Linton Albert sebulat suara membenarkan rayuan itu yang dikemukakan oleh tiga anak perempuan berkenaan, Nurasmira Maulat Abdul Jaffar, Siti Asma Abdul Jaffar, dan Siti Fatimah Abdul Jaffar bagi mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman sivil mereka terhadap Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia dan pegawai polis ASP Ong Seng Keong. 

Dua hakim lagi ialah Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer dan Hakim Vernon Ong Lam Kiat. 

Dalam penghakiman 31-halaman, Hakim Hamid berkata sering disebut bahawa undang-undang Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pegawai polis membunuh suspek dan penjenayah yang digeruni menerusi pertembungan 'palsu'. 

"Polis dibayar gaji menerusi dana awam dengan tugas utama menangkap penjenayah dan mengemukakan mereka untuk perbicaraan. 

"Mereka tidak boleh dibiarkan berkeliaran menembak sesuka hati kerana ini melanggar peraturan undang-undang dan pihak berkuasa mesti menyekat pelanggaran ini dengan serius," kata beliau. 

"Sering diperkatakan bahawa pasukan polis tidak diberikan kuasa 'menjalankan hukuman' dengan alasan untuk mempertahan diri," kata Hakim Hamid. 

Panel itu menganugerahkan RM51,000 sebagai ganti rugi kerana kehilangan tempat bergantung dan RM300,000 ganti rugi teladan, serta kos RM50,000 untuk proseding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi kepada anak perempuan itu berusia 15, 8 dan 7 tahun yang menerusi ibu mereka Abra Bibi Shahul Hamid mengemukakan saman tersebut, akibat kematian Abdul Jaafar Abdul Mutalib, 38. 

Hakim Hamid berkata mahkamah sentiasa mengingati pengorbanan anggota polis dalam memelihara undang-undang dan peraturan dan dalam proses itu berlaku kejadian malang mengorbankan nyawa pegawai-pegawai polis dalam pertembungan tulen. 

"Apa yang memualkan dan perlu dikutuk ialah pertembungan palsu sebagaimana ditunjukkan oleh fakta kes prima facie berkenaan dan kegagalan pihak berkuasa 
mendisiplin pegawai seumpama itu dan lebih teruk lagi mendakwa untuk mempertahan diri di bawah Akta Polis yang tidak relevan dengan pembunuhan," kata beliau. 

Beliau berkata peguam kanan persekutuan yang mewakili responden telah juga gagal menarik perhatian mahkamah terhadap sebarang undang-undang yang memberi kuasa kepada polis hak untuk menembak bila muncul di depan mata atau sebarang undang-undang berkaitan pertahanan diri atau pematuhan sebarang Prosedur Operasi Khas. 

Hakim Hamid juga berkata mahkamah mempunyai tugas dari segi perlembagaan menangani "tindakan berlebihan polis" dan menyediakan input atau arahan perlu untuk tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa relevan demi menentukan peraturan undang-undang dipelihara setiap masa. 

Dalam insiden berkenaan, si mati, seorang penarik kereta, sedang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan sebuah Proton Waja bila tiba-tiba kenderaannya dan sebuah kenderaan lain diserang hendap oleh pasukan Gerak Khas polis dekat sebuah stesen petrol di Batu 3, Shah Alam pada 2 September, 2008. 

Polis mendakwa kereta-kereta berkenaan bergerak dalam "keadaan mencurigakan". 

Polis, bagaimanapun berkata, mereka melepaskan tembakan untuk mempertahan diri setelah tembakan dilepaskan ke arah mereka dari arah Proton Waja mengakibatkan lelaki berkenaan maut dengan enam kesan tembakan, dan tiga orang lain yang juga berada dalam kereta itu. 

Mereka (polis) tidak mempertikai pembunuhan itu tetapi berkata ia dilakukan untuk mempertahan diri.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan