Lima Pegawai Kastam Didakwa Terima Rasuah

Diterbitkan: Isnin, 22 September 2014 3:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima pegawai Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 24 pertuduhan menerima suapan antara RM500 hingga RM50,000 bagi bayaran bulanan, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap barangan yang tidak dibayar cukai iaitu arak.

Lima pegawai terbabit ialah Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Mohd Ariffin Zakaria; Pegawai Kanan Kastam Hizam Abd Ghani; Penolong Pengarah Kastam Sohaizan Othman; Pegawai Kanan Kastam Azlee Mohamed Yusof dan Pegawai Tinggi Kastam Ishak Abu.

Kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini Isnin.

Mohd Ariffin, 57, mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,000 bagi bayaran bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu warga tempatan atau syarikat-syarikat yang individu tersebut berkepentingan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dia yang bertugas di Cawangan Siasatan Khas, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Kastam, Dengkil, Selangor, didakwa menerima suapan antara RM1,000 dan RM2,000 melalui akaun seorang wanita di lokasi berbeza iaitu Maybank, Cheras dan Stesen Petronas di hadapan Cheras Central Plaza pada Januari 2014 dan Ogos 2014.

Hizam, 56, yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan sama melibatkan jumlah wang tunai RM50,000, di Taman Segar, Cheras, pada Mac 2014.

Hakim Allauden Ismail membenarkan Ariffin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Hizam dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Sohaizan, 41, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang sama iaitu memperoleh suapan berjumlah RM5,000.

Tertuduh, yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan, Kastam Selangor didakwa melakukan kesalahan itu Stesen Minyak BHP, Taman Connought, Cheras di sini, antara Mac 2014 dan Jun 2014, antara 9 malam dan 10 malam, dan pada Julai 2014 antara 9 malam dan 10 malam di Taman Taynton, Cheras. 

Sementara itu, Azlee, 48, mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan yang sama melibatkan jumlah nilai suapan berbentuk wang tunai iaitu RM4,000.

Azlee yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Taman Connought, Cheras, di sini antara pertengahan Januari 2014 dan pertengahan Ogos 2014.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Sohaizan diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan manakala Hakim Rosbihanin Arifin membenarkan Azlee diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kesemua pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Ishak, 55, mengaku tidak bersalah menerima wang berjumlah RM1,000 tanpa balasan daripada seorang individu warga tempatan melalui seorang individu lain yang diketahui mempunyai urusan rasmi dengannya.

Dia yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Kastam Selangor didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Jalan Raja Laut pada 8.38 malam, 26 Julai lepas mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rosbihanin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Kesemua kes akan disebut semula pada 20 Oktober ini. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Athonny Kevin Morais, Ahmad Saifuddin Hashim Musaimi dan Husmarudin Hussin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Gabriel Susayan, Abd Rahim Ali dan Feisal Mustapha.

Tags / Kata Kunci: Jabatan Kastam , Rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan