Mahkamah Tolak Saman RM4.2 Juta Terhadap Kamaruddin Siaraf, Kerajaan

Diterbitkan: Khamis, 11 September 2014 5:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak saman RM4.2 juta oleh bekas Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Omar Awang terhadap bekas Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan kerajaan Malaysia berhubung pertukaran ke bahagian lain dan penurunan gred jawatan.


Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan Omar membayar kos sebanyak RM50,000 kepada kedua-dua defendan (Kamaruddin dan kerajaan).

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam memutuskan bahawa kandungan surat bertarikh 12 Mei 2009 berhubung pertukaran Omar ke bahagian lain perkhidmatan awam serta penurunan gred jawatan tidak mempunyai unsur fitnah atau membawa sebarang maksud fitnah.

"Mahkamah berpendapat sedemikian berdasarkan keterangan khusus bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu Tan Sri Dr Rais Yatim di mana beliau menyatakan bahawa keputusan untuk tidak menyambung pelantikan plaintif sebagai rektor adalah keputusannya dan defendan pertama (Kamaruddin) hanya mengajukan keputusan itu kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara," katanya.

Beliau berkata, kandungan surat tersebut dilindungi oleh "perlindungan bersyarat" iaitu ia dihantar oleh defendan pertama dan menyampaikan keputusan serta hasrat Menteri kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara yang mempunyai kepentingan dan hak untuk menerima maklumat tersebut.

Berhubung aduan penyalahgunaan kuasa, Vazeer Alam berkata, tindakan yang dilakukan oleh Kamaruddin dalam urusan berhubung kenaikan pangkat serta pemindahan dan penukaran plaintif ke jawatan dan jabatan lain adalah mengikut kehendak dan nilaian menteri yang mendapati tahap kefasihan bahasa Inggeris plaintif untuk jawatan Setiausaha Bahagian Antarabangsa adalah tidak mencukupi.

"Pada masa itu gred hakiki plaintif adalah M54 dan beliau hanya menyandang jawatan gred Jusa B (secara pinjaman) semasa di Aswara sebagai rektor dan gred Jusa C sebagai Setiausaha Bahagian di KPKK (secara pertukaran sementara). Penyandangan kedua-dua jawatan ini oleh plaintif bukanlah secara tetap," katanya.

Vazeer Alam berkata, Omar tidak boleh mengatakan beliau seharusnya dinaik ke pangkat gred Jusa B daripada gred hakikinya M54 dan mahkamah tidak dapat menerima aduan plaintif bahawa Kamaruddin telah menyalahgunakan kuasanya dalam mengesyorkan kenaikan pangkat Omar daripada gred M54 ke Jusa C.

Pada 24 Febuari 2012, Omar memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi RM4.2 juta terhadap Kamaruddin dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan mengeluarkan surat berunsur fitnah sehingga beliau ditukar ke bahagian lain perkhidmatan awam serta diturunkan pangkat.

Dalam pernyataan tuntutannya, Omar berkata, pada 12 Mei 2009, Kamaruddin didakwa dengan niat jahat telah menyalahgunakan kuasanya untuk menandatangani dan menyebabkan penyiaran surat bertarikh sama dan dialamatkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara.

Omar mendakwa perkataan dalam surat itu adalah berunsur fitnah dan berniat jahat yang membawa maksud Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu memutuskan untuk tidak melanjutkan peminjaman beliau sebagai rektor Aswara.

Beliau berkata, pada atau lebih kurang 4 Disember 2009, Kamaruddin dengan niat jahat dan salah guna kuasa menandatangani dan menyebabkan sepucuk surat dikeluarkan, dengan menukarkan dan menempatkannya kepada sektor lain serta menurunkan pangkatnya daripada Gred Utama B (Terbuka) kepada Gred M54 tanpa apa-apa sebab munasabah.

Omar yang diwakili peguam G.Ravi Shankar memberitahu pemberita beliau akan merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom dan Normastura Ayub mewakili Kamaruddin dan kerajaan Malaysia.


Tags / Kata Kunci: Mahkamah Tinggi , Aswara , Datuk Omar Awang

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan