Penyelia Tapak Binaan Dipenjara Setahun Kerana Komen Jelik Di FB

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 7:21 PM

Chow Mun Fai diiringi anggota polis untuk menjalani hukuman penjara selama setahun mulai Selasa.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia tapak pembinaan dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menghantar komen jelik di laman Facebook berhubung sambutan Aidilfitri pada Jun lepas.


Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula Selasa.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, pengakuan salah tertuduh merupakan mitigasi bagi meringankan hukuman, namun kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.

"Hukuman berat diberikan ke atas tertuduh bukan sahaja sebagai pengajaran kepadanya tetapi juga peringatan kepada orang awam supaya tidak menggunakan kemudahan internet untuk menyiarkan kata-kata bersifat jelik yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain sehingga boleh membawa runtuhnya keharmonian dalam kalangan masyarakat negara ini," katanya.

Chow didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet iaitu Facebook dan menghantar komen bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di The Kuala Lumpur Performing Art Centre Sentul Park, Sentul di sini pada 10.30 pagi 12 Jun lepas.

Lelaki itu, yang menangis teresak-esak sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memohon mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tindakan tertuduh mempersendakan agama Islam yang boleh mengundang respon pihak lain dan boleh menghancurkan asas Perlembagaan iaitu sikap saling hormat menghormati.

Peguam Ahmad Ridza Mohd Noh, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan kerana anak guamnya menghidap penyakit tibi dan gastrik, selain perlu menjaga kedua-dua ibu bapanya.


Tags / Kata Kunci: komen jelik , Facebook

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan