Halam Saad Gagal Dalam Kes Rayuan Saman RM1.8 Bilion

Diterbitkan: Rabu, 27 Ogos 2014 5:30 PM

Tan Sri Halim Saad

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Hartawan Tan Sri Halim Saad gagal dalam rayuannya untuk mengembalikan semula saman RM1.8 bilion yang difailkan terhadap Khazanah Nasional Berhad dan dua yang lain berhubung penyelesaian untuk melepaskan pegangan dalam Renong Berhad.

Tiga anggota panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Halim yang difailkan dalam usaha untuk menukar keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap tiga responden.

"Kami dapati kesimpulan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi bahawa dakwaan plaintif (Halim) jelas tidak mapan atas alasan tempoh had masa telah ditetapkan dan persetujuan dan penyelesaian, adalah betul," katanya.

Hakim Zaharah yang bersidang dengan Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Varghese George Varughese, memerintahkan Halim untuk membayar kos perundangan RM25,000 kepada Khazanah dan RM25,000 lagi kepada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Pada 31 Oktober, 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan yang dibawa oleh Khazanah, Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan untuk membatalkan saman Halim memandangkan ia (saman itu) difailkan selepas tempoh had masa enam bulan berakhir seperti yang ditetapkan mengikut Akta Had Masa 1953.

Bekas pengerusi eksekutif Renong Bhd itu memfailkan saman terhadap Khazanah, Nor Mohamad Yakcop dan kerajaan pada 17 April 2013 bagi menuntut semula pampasan lebih RM1.8 bilion kerana menjual kepentingannya dalam syarikat.

Dalam pernyataan tuntutan, Halim berkata pada 2001 beliau memiliki 372,000,000 saham berjumlah hampir 16 peratus daripada modal terbitan dan berbayar Renong, menjadikan beliau pemegang saham individu terbesar Renong.

Beliau berkata pada November 2002, Nor Mohamed dilantik sebagai pengarah Khazanah dan pada bila-bila masa yang penting, Renong memegang kepentingan besar dalam modal terbitan dan berbayar sebuah syarikat dikenali sebagai United Engineers (M) Bhd (UEM).

Halim mendakwa beliau dipujuk oleh Nor Mohamed selaku wakil kerajaan agar beliau menerima tawaran itu dan melepaskan Renong dan UEM.

Beliau menuntut RM1.3 bilion, ganti rugi am bagi pelanggaran pemilikan Renong, serta RM508 juta bagi nilai modal berbayar Kualiti Alam Sdn Bhd untuk penyelesaian kerugian yang dialaminya untuk menyelamatkan Kumpulan Fleet dan ganti rugi bagi salah nyata fraud.
Tags / Kata Kunci: Halim Saad , Khazanah Nasional Berhad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan