Novelis Menang Kes Saman Fitnah Terhadap Pembantunya

Diterbitkan: Isnin, 25 Ogos 2014 4:39 PM

Antara salah satu novel oleh Siti Rosmizah Semail.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang novelis menang dalam kes saman terhadap bekas pembantu peribadinya berhubung kenyataan fitnah yang dimuat naik dalam laman Facebook.

Ini berikutan Mahkamah Tinggi Sivil pada 4 Ogos lepas membenarkan permohonan Siti Rosmizah Semail, 42, untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap defendan Asmaliyana Ahmad, 24, yang juga adik iparnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan novelis yang juga seorang peguam itu berikutan defendan gagal memasukkan kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan selepas saman itu difailkan.

Pada Isnin  mahkamah mendengar keterangan Siti Rosmizah yang telah menulis tujuh buah novel berhubung jumlah ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Dalam keterangannya, Siti Rosmizah yang menulis novel berbentuk kemasyarakatan dan fiksyen, berkata akibat kenyataan fitnah itu penjualan novelnya yang sebelum itu hampir mencecah 100,000 unit telah terjejas.

Hakim menetapkan 29 September ini untuk memutuskan jumlah ganti rugi yang akan diberikan kepada plaintif. Pada 18 Disember tahun lepas, Siti Rosmizah memfailkan saman berjumlah RM3 juta terhadap Asmaliyana atas dakwaan menyiarkan lebih kurang 19 kenyataan fitnah dilaman Facebooknya (defendan) antara 21 April tahun lepas dan 24 Julai tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau yang pernah menerima anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian 2009, berkata akibat daripada kenyataan fitnah itu reputasinya sebagai peguam dan kedudukannya sebagai penulis novel yang dihormati juga terjejas.

Wanita itu mendakwa beliau juga kehilangan pendapatan kerana kehilangan jemputan oleh institusi-institusi penerbitan yang lain untuk memberi taklimat berkaitan penulisan novel.

Sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi am RM1.5 juta, ganti rugi teruk RM1.5 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai olehmahkamah. 

Tags / Kata Kunci: novelis , saman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan