Penguasa Kastam Dilepas, Dibebas Daripada Empat Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 12 Ogos 2014 8:02 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang penguasa kastam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa daripada empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,000, lima tahun lepas.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan dihadapi Kamarudin Ismail.

Kamarudin, 51, yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknik, Menara Kastam, di sini didakwa menerima suapan masing-masing RM500 daripada Zacharias Kho bagi mempercepat dan memudahkan permohonan penjenisan barangan yang dikemukakan Kho ke Bahagian Perkhidmatan Teknik.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di Restoran Bindu Curry House, di sini pada kira-kira 6 petang, 23 Julai 2009 dan kira-kira 7 malam, 14 Ogos 2009.

Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM2,500 daripada Kho bagi meluluskan permohonan penjenisan barangan dan pemberian nombor kod tarif bagi barangan yang dipohon Kho kepada Bahagian Perkhidmatan Teknik, di bilik 1302, Hotel Grand Blue Wave, di sini, kira-kira 8 malam, 7 September 2009.

Kamarudin juga dituduh menerima suapan RM500 daripada Kho bagi melulus dan mengeluarkan surat keputusan penjenisan barang kepada Syarikat One Time Esteem Sdn Bhd menerusi satu akaun bank, kira-kira pukul 1.29 petang, 21 September 2009.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ridzuan Abd Malik manakala Kamarudin diwakili peguam Abdul Hamid Menon.


Tags / Kata Kunci: penguasa kastam , rasuah , Zacharias Kho

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan