Kassim Ahmad Dibicarakan 20 Oktober, Gagal Tangguh Prosiding Mahkamah Syariah

Diterbitkan: Khamis, 17 Julai 2014 7:08 PM

Kassim Ahmad

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad hari ini gagal menghalang ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan daripada meneruskan pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan menghina agama Islam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan presidennya Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan Kassim untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Sivil menolak permohonannya untuk mencabar keputusan pendakwa menghadapkannya ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Kassim memohon penangguhan itu untuk menghalang pendakwa daripada meneruskan kes berkenaan di Mahkamah Syariah sementara menunggu keputusan rayuannya kepada Mahkamah Tinggi Sivil.

Md Raus, yang mendengar permohonan penangguhan itu bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Wira Mohtarudin Baki, berkata panel itu bersetuju dengan hujah peguam kanan persekutuan Nor Hisham Ismail bahawa penangguhan itu tidak patut diberi dan oleh itu mahkamah menetapkan 24 Julai ini untuk mendengar rayuan Kassim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

"Seperti yang telah saya katakan, perkara ini merupakan kes di Mahkamah Syariah. Permohonan untuk mendapatkan penangguhan ditolak. Kamu boleh memohon tarikh awal untuk merayu," kata Md Raus kepada peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Kassim.

Pada Isnin lepas, ketika menolak permohonan Kassim bagi mendapatkan kebenaran memohon semakan semula kehakiman untuk mencabar keputusan pendakwa menghadapkannya ke Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu dan perkara berkenaan secara eksklusif terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Kassim bagi mendapatkan kebenaran itu.

Kassim, 81, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 26 Jun lepas untuk memohon mendapatkan, antara lain, writ perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan ketua pendakwa syarie pada 27 Mac mendakwanya kerana menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Beliau juga memohon agar prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan semula kehakiman.

Di samping itu, Kassim memohon perintah untuk mengetepikan tindakan dan keputusan para pegawai penguatkuasa Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) yang didakwa menyerbu, mengggeledah dan merampas bahan penerbitan miliknya serta membuat pemeriksaan, menahan dan memindahkannya dari Kedah ke Wilayah Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah untuk mengetepikan sebarang waran tangkap, menggeledah dan merampas serta bon berkaitnnya, persisytiharan bahawa tindakan para pegawai Jawi dan pendakwaan terhadapnya adalah ultra vires dan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen Syariah Kedah, dan perisytiharan bahawa kesalahan melanggar fatwa yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan hanya terpakai kepada pendidikan wilayah itu sahaja.

Di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, Hakim Syarie Azzeman Omar menetapkan 20 hingga 22 Oktober untuk membicarakan kes Kassim, yang mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Azzeman menetapkan tarikh itu selepas menolak bantahan awal Rosli yang dibuat pada Mei bagi menangguhkan pendengaran kes itu dan agar tuduhan ketiga tidak dibacakan kepada anak guamnya.

Dalam keputusannya, Azzeman berkata Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membut keputusan tentang kes itu.

Bagi tuduhan pertama, Kassim didakwa menghina Islam dalam ucapannya pada seminar 'Pemikiran Kassim Ahmad: Penilaian Terhadap Peta Lalaun Orang Melayu dan Malaysia untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Dalam tuduhan kedua, beliau didakwa memetik kandungan dua bukunya berjudul 'Hadith: Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadith: Jawapan Kepada Pengkritik' yang diharamkan Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan.

Pada awalnya, Kassim menghadapi dua tuduhan, tetapi hari ini, satu lagi tuduhan dibaca kepadanya, yang mendakwa beliau mempertikai pemakaian hijab oleh wanita Islam dengan berkata menurut ajaran Islam, "rambut bukan sebahagian daripada aurat wanita".

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu di premis Yayasan Perdana Global di Precinct 8, di sini antara 9 pagi dan 5 petang pada 16 Februari 2014.

Kesalahan itu terletak di bawah Seksyen 7(b) Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 9 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau hukumn penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwa kanan syarie Che Saufi Che Husin mewakili pendakwa, manakala Kassim diwakili peguam syarie Zaini Zainol.
Tags / Kata Kunci: Kassim Ahmad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan