Warga Australia Dipenjara 15 Bulan Kerana menipu

Diterbitkan: Jumaat, 11 Julai 2014 3:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Australia dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku menipu seorang pengarah sebuah syarikat berhubung pelaburan jual beli saham pada Oktober tahun lepas.

Hakim Norsharidah Awang yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Robert Alexander Dowling, 67, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes disebut semula hari ini, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 14 Mei lepas.

Dowling yang juga pesara didakwa menipu dengan memperdaya Lai Pui Weng, 40, untuk mempercayai wujudnya urusan pelaburan jual beli saham dari Amerika Syarikat sehingga mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek Standard Chartered Bank bernilai RM157,000 kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Tun Dr Ismail pada 3.39 petang, 7 Okt 2013.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama seorang rakannya bernama Pansy Low menyerahkan cek bernilai RM157,000 selepas tertuduh memberi jaminan untuk membantu mangsa melabur agar tidak mengalami kerugian ketika pasaran saham Amerika Syarikat merundum pada September tahun lalu.

Mangsa mengenali tertuduh ketika tertuduh menjadi mentor dalam program pelaburan dalam satu bengkel hartanah pada Julai 2003.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana kesalahan itu serius dengan mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman minimum terhadapnya dengan mengambil kira usianya yang sudah lanjut.
Di mahkamah sama seorang pelancong wanita warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara setahun selepas dia mengaku bersalah kerana menggunakan dan memiliki wang kertas US$100 palsu, Jun lepas.

Hakim Norsharidah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Quach Thi Lan, 34, bagi kesalahan menggunakan sekeping wang kertas US$100 palsu manakala penjara setahun bagi kesalahan memiliki sekeping mata US$100 palsu.

Mahkamah memerintahkan Quach menjalani hukuman itu secara serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 20 Jun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Quach didakwa menggunakan sekeping wang palsu sebagai tulen di Prince Hotel & Residence di Jalan Conlay di sini antara 2 petang hingga 5 petang, 20 Jun lepas mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa memiliki sekeping wang palsu di hotel sama pada 7 petang hari yang sama mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Mengikut fakta kes, Quach menggunakan wang palsu itu dalam urusan pendaftaran masuk ke hotel dan transaksi penukaran wang tunai USD ke Ringgit Malaysia.

Tags / Kata Kunci: Australia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan