Edar Dadah: Dua Sahabat Ke Tali Gantung

Diterbitkan: Rabu, 9 Julai 2014 12:19 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Dua sahabat hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar 17.7 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine kira-kira dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Iswandi Din, 26, dan Ahmad Azizuddin Mohd Radzi, 27, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
 
"Kedua-dua tertuduh dalam pembelaan telah menafikan keterangan saksi-saksi pendakwaan. Saya telah mempertimbangkan keterangan tertuduh...keterangan kedua-dua tertuduh diada-adakan.
 
"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes dadah ini adalah melampaui keraguan munasabah," kata Mohd Zaki dalam penghakimannya.

Beliau berkata pihaknya tiada pilihan selain menjatuhkan hukuman mati mandatori kerana hanya itu hukuman bagi kesalahan yang telah dilakukan.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur dituduh mengedar dadah berbahaya seberat 17.7 gram iaitu 15.1 gram heroin dan 2.6 gram monoacetylmorphine di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan kaunter feri, Jeti Point Kuah, Langkawi pada 7 malam, 3 Sept 2012.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyaf Falina Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan