Saman Bekas Pemain Bola Sepak KL Terhadap FAM, KLFA Ditolak

Diterbitkan: Rabu, 18 Jun 2014 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak saman bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur Hafizi Roslee terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Saman pemula itu adalah berhubung penggantungan seumur hidup bekas pemain itu kerana didapati terbabit dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk memutuskan isu undang-undang yang dikemukakan mengikut Aturan 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tanpa melalui perbicaraan penuh.

Keputusan itu dibuat dalam kamar dengan dihadiri peguam Kevin de Rozario, mewakili Hafizi dan peguam Richard Bong mewakili kedua-dua defendan.

Richard ketika ditemui pemberita berkata tuntutan Hafizi ditolak dan mahkamah memerintahkan kos RM6,000 dibayar kepada kedua-dua defendan.

Dalam keputusan itu, Rosilah berkata mahkamah mendapati Hafizi, selaku plaintif tidak menggunakan segala remedi yang diperuntukkan kepadanya di bawah Statut FAM atau Kod Tatatertib FAM (Edisi 2012) sebelum membawa pertikaian yang dihadapinya ke mahkamah.

Rosilah berkata mengikut Artikel 68 Statut FAM, plaintif tidak dihalang untuk membawa tindakan terhadap jawatankuasa FAM ke mahkamah, tetapi sebelum tindakan itu dibuat plaintif perlu merujuk pertikaian itu dengan Jawatankuasa Rayuan FAM atau pihak timbang tara atau forum domestik persatuan terlebih dahulu.

"Klausa sebegini adalah sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang atau polisi awam dan adalah merupakan kelaziman bahawa mahkamah tidak akan campur tangan dalam urusan persatuan," katanya.

Pada 26 Februari lepas, Hafizi, 29, memfailkan saman pemula itu terhadap FAM dan KLFA, selaku defendan dengan memohon satu perintah supaya mahkamah membatalkan keputusan FAM yang menggantungnya seumur hidup daripada sebarang kegiatan bola sepak.

Hafizi turut memohon deklarasi bahawa segala tatacara dan prosiding tatatertib, hukuman dan rayuan dalam Kod Tatatertib FAM Edisi 2012 adalah tidak berperlembagaan, sebarangan dan bercanggah dengan peraturan keadilan asasi serta dasar awam.

Beliau juga memohon satu deklarasi bahawa perbicaraan yang dikendalikan FAM tanpa kehadirannya pada 20 Dis tahun lepas adalah batal dan tidak sah.

Pada 20 Disember tahun lepas, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup selain denda berjumlah RM20,000 kepada Hafizi dan empat pemain skuad Kuala Lumpur yang didapati bersalah dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Mereka yang lain adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie dan Jeremy Danker.

Selain itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky dari Slovakia; Penolong Pengurus Rosli Omar dan Pegawai Pasukan Saari Jani yang didapati bersalah oleh jawatankuasa berkenaan, turut menerima hukuman sama.

Tags / Kata Kunci: FAM , KLFA , saman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan