Malaysiakini Diperintah Fail Pembelaan Dalam Kes Saman Oleh Najib

Diterbitkan: Rabu, 18 Jun 2014 3:03 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan syarikat penerbit dan dua editor laman portal Malaysiakini.com memfailkan pembelaan berhubung kes saman fitnah yang difailkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin menetapkan 1 Julai depan untuk Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini.com Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar (defendan) berbuat demikian.

Kes itu didengar di dalam kamar dengan dihadiri peguam Ashok Kandiah yang mewakili kesemua defendan dan peguam Wan Azmir Wan Majid bagi pihak Najib dan Ab Rauf.

Di luar mahkamah, Ashok Kandiah memberitahu pemberita bahawa Norfauzani turut menetapkan 15 Julai untuk Najib dan Ab Rauf memfailkan pernyataan balas iaitu selepas pembelaan difailkan defendan.

Ditanya adakah pihaknya akan membuat permohonan untuk membatalkan saman tersebut, Ashok berkata "Saya akan merujuk kepada anak guam terlebih dahulu."

Norfauzani juga menetapkan 24 Julai untuk pengurusan kes.

Pada 30 Mei lepas, Najib yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi dan Ab Rauf bagi pihak Umno mendakwa ketiga-tiga defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan bertajuk 'A case of the PM reaping what he sows' dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu?'.

Kedua-dua artikel itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lepas.

Plaintif mendakwa artikel tersebut diletakkan di bawah ruangan 'Yoursay' di laman web portal www.malaysiakini.com oleh defendan-defendan sendiri atau pembantu mereka melalui komen daripada pelanggan atau pengguna laman web itu yang kemudiannya digabungkan sebagai satu artikel di bawah tajuk utama. 

Artikel pertama iaitu 'A case of the PM reaping what he sows' adalah berkaitan dasar kerajaan dan hudud manakala artikel kedua 'How much will Najib spend to keep Terengganu?' berhubung isu kemelut politik di Terengganu bulan lalu.

Najib dan Ab Rauf mendakwa defendan telah membenarkan penerbitan artikel berkenaan dengan sengaja selain mengetahui ia adalah tidak benar dan tuduhan melulu tanpa mempedulikan kebenarannya.

Najib mendakwa kata-kata fitnah itu telah menjejaskan reputasinya sebagai ahli politik, presiden Umno dan perdana menteri.

Selain itu, kedua-dua plaintif mendakwa komen berkenaan telah membawa maksud secara sindiran untuk menunjukkan Umno tidak kompeten sebagai sebuah parti politik dan tulang belakang Barisan Nasional.

Mereka juga mendakwa kata-kata finah itu bertujuan menggambarkan Umno menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan parti politik dan sebuah parti yang tidak demokratik serta sengaja mengada-adakan situasi yang tidak diingini.

Kedua-dua plaintif mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasi mereka terjejas teruk apabila Umno dikecam terutama di media sosial dan media massa.

Kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am dan khas yang akan ditaksirkan mahkamah serta ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, injunksi untuk menahan defendan-defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel itu dan perintah defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di surat khabar dan kos.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan