Tukang Sapu Dipenjara Kali Ke-8 Kerana Mencuri

Diterbitkan: Jumaat, 13 Jun 2014 6:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang majistret menyifatkan seorang tukang sapu 'bagaikan tidak insaf dan tidak mengambil pengajaran daripada hukuman terdahulu' apabila dihukum penjara buat kali kelapan bagi kesalahan mencuri.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 44 bulan selepas Mohd Jaafar Baharum, 42, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu cuba mencuri dan pecah pejabat.

Mengikut rekod mahkamah, Mohd Jaafar pernah dipenjara sebanyak tujuh kali bagi kesalahan mencuri, samun, pecah rumah dan curi kereta sejak 1991.

Pada prosiding pada Jumaat, dia didakwa cuba mencuri wayar besi dari bangunan Maktab Perguruan Teknik (IPG) di Jalan Yaakob Latif, Cheras pada 2.40 petang 5 Jun lepas.

Mohd Jaafar juga didakwa memasuki sebuah premis pejabat melalui bumbung secara tidak sah dan mengambil tiga unit komputer riba, dua unit telefon bimbit, dua unit kamera digital serta wang tunai RM3,800 di Desa Tun Razak di sini pukul 12 tengah hari pada 2 September 2009.

Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu gagal mempamer dokumen pengenalan diri yang sah pada 5 Jun di IPG dan 9 Jun lepas ketika ditahan polis di Jalan Dang Wangi di sini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan bagi kesalahan cuba mencuri, 30 bulan bagi kesalahan pecah pejabat dan tiga bulan bagi setiap kesalahan gagal mempamer dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, Mohd Jaafar diperintah menjalani kesemua hukuman secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 9 Jun lepas.

Terdahulu, ketika merayu hukuman ringan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah bahawa dia mempunyai masalah kesihatan dan perlu menyara isteri serta tiga orang anak.

"Saya orang susah tuan, saya kesempitan wang, anak-anak masih kecil dan saya ada masalah darah tinggi. Saya minta mahkamah yang mulia ini ringankanlah hukuman saya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan mencuri adalah ancaman kepada orang ramai yang terpaksa menanggung kerugian serta mengambil kira kekerapan kesalahan yang dilakukan tertuduh.


Tags / Kata Kunci: tukang sapu , mencuri , penjara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan