Pelajar Kolej Didakwa Bunuh Jiran

Diterbitkan: Jumaat, 13 Jun 2014 12:52 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang pelajar kolej didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membunuh seorang jirannya.

A. Devandran, 18, dari Taman Sejahtera di Alma didakwa atas pertuduhan membunuh kerana menyebabkan kematian P.Vijayan, 56, di rumahnya di Taman Pinggiran Alma, Machang Bubuk, Seberang Prai kira-kira pukul 10.40 malam, 2 Jun lalu.

Kesalahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Devandran turut berdepan pertuduhan kedua kerana cuba membunuh isteri Vijayan, P.Amutha, 42, di tempat dan hari yang sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Musyiri Peet menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes kerana menunggu laporan bedah siasat Vijayan dan laporan perubatan Amutha.

Peguam Dev Kumaraendran mewakili Devandran manakala Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim menjadi pendakwa.

Vijayan meninggal dunia selepas melecur teruk akibat molotov cocktail yang dibaling ke dalam rumahnya di Taman Pinggiran Alma, Bukit Mertajam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam kira-kira pukul 2.40 petang Isnin, seminggu selepas insiden itu.

Amutha, yang berada di dalam rumah pada ketika itu melecur di bahagian tangan dan muka.

Tags / Kata Kunci: bunuh , jiran

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan