Warga Myanmar Didenda RM500 Bawa Pisau Di Tempat Awam

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 2:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara membawa pisau sepanjang 30 sentimeter (sm) di tempat awam, seorang penjual buah warga Myanmar didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhi hukuman itu terhadap Nai Aung Myo Tun, 27, selepas dia mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya itu di hadapan Pasaraya KK Mart, di Jalan Tun Cheng Lock di sini pada pukul 3.30 pagi, 29 Mei lalu.

Erry Shahriman juga memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Bahan Kakisan, Letupan, dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan dikenakan hukuman sebat.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Vincent Chew Zi Xian memohon hukuman ringan kerana pisau sepanjang 30 sm itu adalah untuk kegunaannya yang bekerja sebagai penjual buah di kawasan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan