Pendakwaan Fail Permohonan Rayuan Berhubung Pembebasan Bekas CEO Sime Bank

Diterbitkan: Rabu, 28 Mei 2014 9:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan untuk mengemukakan semula rayuan pihak pendakwaan berhubung rayuan mereka terhadap pembebasan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Bank Datuk Ismail Zakaria. 

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail, 71, untuk mengetepikan rayuan Bank Negara terhadap pembebasannya daripada pertuduhan meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta selepas tiada wakil daripada pendakwaan hadir di mahkamah.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu, Bank Negara mengesahkan bahawa pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara yang hadir bagi pihak Bank Negara memfailkan permohonan untuk mengemukakan semula rayuan itu semalam dan Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Jun untuk mendengar permohonan itu.

Pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan Ismail daripada pertuduhan meluluskan pinjaman itu yang didakwa dilakukan semasa negara mengalami krisis kewangan terburuk pada 1997.

Pada 12 September 2011, Ismail dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada empat pertuduhan bertindak di luar bidang kuasanya meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta kepada sebuah syarikat pelaburan. 

Ismail didakwa meluluskan pinjaman RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise Capital Sdn Bhd antara 20 Sept 1997 dan 21 Okt 1997 di pejabatnya di tingkat dua Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Ismail di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 65(1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta, atau kedua-duanya.
Tags / Kata Kunci: Datuk Ismail Zakaria , Sime Bank

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan