Blackout 505: Dua Anggota Parlimen Pohon Dilepas Tanpa Dibebaskan

Diterbitkan: Khamis, 15 Mei 2014 10:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua anggota Parlimen, seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis memohon Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berkaitan perhimpunan 'Blackout 505' di Padang Merbok tahun lepas.

Anthony Loke Siew Fook, 37, (anggota Parlimen Seremban) Mohd Rafizi Ramli, 37, (anggota Parlimen Pandan), Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, 53, (Adun Batu Burok) dan Muhammad Adib Ishar, 25, mengemukakan permohonan itu pada prosiding perbicaraan kes mereka, Khamis.

Bagaimanapun, Hakim Mat Ghani Abdullah menangguhkan keputusannya selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Mohd Nor untuk menangguhkan perbicaraan kes itu sementara menunggu Mahkamah Persekutuan memutuskan rayuan pendakwaan dalam kes membabitkan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, peguam Eric Paulsen berkata permohonan itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April, yang melepas dan membebaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan menganjurkan perhimpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei tahun lepas.

Mat Ghani berkata pendakwaan akan hilang remedi jika Mahkamah Sesyen memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Loke, Mohd Rafizi, Syed Azman dan Muhammad Adib ketika ini kerana perbicaraan sudah mendengar keterangan 12 saksi.

"Kes ini menjadi tidak berasas dan pramatang kerana masih ada tiga lagi saksi yang akan dipanggil, termasuk seorang wartawan, untuk memberi keterangan," kata Mat Ghani yang menetapkan 5 Jun untuk menyebut semula kes itu.

Loke, Mohd Rafizi, Syed Azman dan Muhammad Adib didakwa menganjurkan perhimpunan tanpa mematuhi syarat Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad, iaitu memperoleh persetujuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok pada 24 Julai tahun lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 2 dan 6 petang 22 Jun 2013 mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai penganjur, gagal menyertakan salinan persetujuan DBKL bertarikh 12 Jun 2013 sepuluh hari sebelum perhimpunan diadakan kepada Zainuddin.

Bagi pertuduhan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan