Rasuah Polis : Dua Warga Bangladesh Dipenjara Sehari, Denda RM10,000

Diterbitkan: Jumaat, 25 April 2014 3:50 PM

Dua warga Bangladesh diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas kesalahan memberi rasuah kepada pegawai polis.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tindakan dua lelaki warga Bangladesh memberi suapan RM1,000 kepada seorang pegawai polis untuk melepaskan dua rakan mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim M.Bakri Abd Majid turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, Sajjad Ahmad, 29, dan Masud Khan Abdus Salam Khan, 31, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah terhadap tuduhan itu membayar denda.

Sajjad, pekerja kedai makan, manakala Masud Khan yang bekerja sebagai buruh binaan, didakwa bersama-sama memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada Inspektor Muhammad Ludin sebagai balasan untuk melepaskan rakan mereka, Md Yusop Bepari dan Majid Ali.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Klang dekat sini, kira-kira pukul 2.36 petang pada 22 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh pergi ke IPD Klang Utara bagi tujuan melepaskan Md Yusop dan Majid kerana kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kedua-dua tertuduh seterusnya memberi wang kepada Muhammad sebagai balasan untuk melepaskan Md Yusop dan Majid tetapi ditolak oleh pegawai polis tersebut yang kemudian merampas wang berkenaan serta menahan kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, Sajjad memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara keluarganya, manakala Masud Khan memberi alasan tidak memahami undang-undang negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lokman Kasim yang mengendalikan pendakwaan pula memohon supaya mahkamah menjatuhi hukuman penjara dan denda ke atas kedua-dua tertuduh.


Tags / Kata Kunci: Bangladesh , rasuah , polis , Klang , dokumen perjalanan

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan