Kes Tuhan Harun Disebut Semula 22 Julai

Diterbitkan: Khamis, 24 April 2014 11:28 PM

Anggota polis membantu ketua ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat, 48, (berkerusi roda) menuruni tangga selepas keluar dari kamar Mahkamah Rendah Syariah Kuantan setelah sebutan semula kes penyebaran ajaran sesat Tuhan Harun bersama enam pengikutnya, di Kuantan, Khamis. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis menangguhkan sekali lagi sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' Harun Mat Saat ke 22 Julai ini.

Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan tarikh itu selepas mendengar pemohonan Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang Mohd Fahmi Abd Jalil bahawa beliau memerlukan masa untuk meneliti representasi yang dikemuka oleh peguam syarie Abdullah Sidek yang mewakili Harun.

Mohd Fahmi dalam permohonannya berkata representasi untuk menggugurkan 10 pertuduhan ke atas tertuduh atas alasan dia tidak lagi 'mukalaf' (wajib mematuhi hukum Islam), baru diterima pada 21 April lepas beserta surat pengesahan daripada hospital.

Harun, 47, hadir ke mahkamah hari ini dengan berkerusi roda akibat diserang angin ahmar.

Pada 24 April tahun lepas, Harun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 10 pertuduhan iaitu menghina agama Islam dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan, menyebarkan ajaran sesat Tuhan Harun dan mencetak, menerbit serta menyimpan dokumen berkaitan ajaran itu.

Sementara itu di kamar yang sama, Abdullah yang turut mewakili tiga pengikut Tuhan Harun, Husin Ismail, 44; Mohd Khalilie Zazali, 32, dan Mohd Nizam Mohd Salleh, 44, memohon satu tarikh sebutan semula berikutan baru dilantik mewakili ketiga-tiga tertuduh pada hari ini. 

Ketiga-tiga tertuduh berhadapan dengan tuduhan berasingan memiliki dokumen yang bercanggah dengan syariat Islam dan kesalahan dilakukan di sebuah premis di B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201, Kuantan pada 6.50 petang, 4 April tahun lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 22 Julai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan