Mahkamah Rayuan Putuskan Selamat Sabitkan Anwar Bersalah

Diterbitkan: Jumaat, 18 April 2014 6:22 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan bagi mengesahkan dan membuktikannya, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar).

Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan.

Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media hari ini, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes, Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

"Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan.

Berhubung andaian pihak pembelaan bahawa Jude telah mengusik eksibit itu, mahkamah mendapati tindakan pegawai penyiasat berkenaan membuka eksibit itu tidak menyebabkan eksibit itu tercemar.

Ketiga-tiga hakim itu berkata mereka mengambil kira penjelasan diberikan Jude berhubung tindakannya itu iaitu beliau hanya mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis Negara.

Dua lagi hakim yang mendengar rayuan itu ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Panel itu juga berkata mereka mendapati tiada alasan untuk mereka menganggu penemuan hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tentang isu kredibiliti Mohd Saiful dan bahawa tiada yang tidak munasabah dengan keterangannya.

"Mengikut undang-undang, kredibiliti saksi-saksi adalah paling penting bagi hakim perbicaraan. Kami berpuas hati bahawa hakim perbicaraan yang bijaksana telah menimbangkan sewajarnya keterangan saksi pertama pihak pendakwa (Mohd Saiful Bukhari)," menurut panel itu.

Panel itu berkata ini tidak mungkin disebabkan beliau (Anwar) membantah untuk memberi keterangan bersumpah kerana jika benar, beliau boleh memilih untuk berdiam diri.

"Adakah mungkin responden keberatan keterangannya disoal dalam pemeriksaan balas? Jika ya, kenapa? Beliau tidak perlu takut untuk disoal kerana beliau akan dipertahankan oleh peguamnya dan oleh mahkamah," kata panel.

Berhubung keterangan dua pakar saksi pembelaan (Dr David Wells dan Dr Brian McDonald) yang dipanggil untuk mematahkan keterangan pakar saksi pendakwa, mahkamah berkata mereka hanyalah 'armchair expert' (pakar yang hanya pandai berteori) dan keterangan mereka hanya semata-mata pandangan, manakala keterangan ahli kimia tempatan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon adalah berdasarkan fakta dan analisis terhadap sampel yang mereka jalankan.

Panel itu juga bersetuju dengan hujahan pihak pendakwa bahawa keterangan Dr McDonald sebahagian besar berbentuk spekulasi, teori, dan andaian, sehubungan itu keterangannya tidak kukuh.

Ketiga-tiga hakim juga berkata Dr McDonald turut membayangkan Jabatan Kimia Malaysia tidak mempunyai akreditasi kerana telah tamat tempoh pada 2005, bagaimanapun, berdasarkan keterangan Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia, Lim Kong Boon jabatan itu mempunyai akreditasi.

Berhubung isu alibi, hakim memutuskan kegagalan Anwar untuk memanggil mana-mana saksi bagi menyokong pembelaannya telah menimbulkan keraguan bona fide ke atas pembelaannya.

Mereka berkata antara saksi yang dinamakan di dalam notis alibi ialah isteri responden dan ketua kakitangannya.

"Saksi-saksi ini sepatutnya ada dan menyebelahi responden jika alibinya adalah tulen," kata panel itu.

Mereka juga mendapati Hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan yang serius apabila beliau meragui integriti sampel DNA berdasarkan keterangan yang diberi dua pakar saksi pembelaan.

Panel itu juga memutuskan keputusan hakim perbicaraan adalah cacat dan memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Tags / Kata Kunci: Anwar , Kes Liwat , Mahkamah Rayuan

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan