Seorang Lelaki Dipenjara 10 Tahun, Enam Sebatan Kerana Miliki Senjata Api

Diterbitkan: Selasa, 1 April 2014 8:24 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas didapati bersalah memiliki senjata api serta tiga kesalahan yang lain, tiga tahun lepas. 

Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membuat keputusan itu selepas mengambil kira kepentingan awam yang perlu dilindungi dan hukuman yang dikenakan perlu dijadikan sebagai pengajaran.

Mahkamah memerintahkan tertuduh Lee Choon Peng, 32, yang bekerja sebagai tukang membaiki rumah menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap bagi semua kesalahan yang dilakukan.

Untuk kesalahan pertama Lee dituduh memiliki senjata api jenis Whalter pada pada pukul 12.45 tengah hari, 10 Nov 2011 di hadapan Pangsapuri Stallion, Bukit Dumbar dekat sini.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 itu, mahkamah menetapkan hukuman penjara selama 10 tahun dan enam sebatan.

Lee juga dituduh di tempat dan masa yang sama, memiliki enam butir peluru 280 Auto dan sembilan butir peluru 9mm dan bagi kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 itu, mahkamah menetapkan hukuman penjara selama empat tahun.

Bagi kesalahan ketiga iaitu kegagalan mengemukakan kad pengenalan, Lee dikenakan hukuman penjara tiga tahun, dan bagi kesalahan memiliki dadah jenis Eramin 5 seberat 0.06 gram, Lee dihukum penjara empat tahun.

Lee diwakili peguam bela Leonard Raj manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Pang Chuin Keat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan