Tiga Pelatih Pusat Pemulihan Dituduh Bunuh Rakan

Diterbitkan: Khamis, 20 Mac 2014 4:17 PM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Tiga pelatih sebuah pusat pemulihan dadah pada Khamis dihadap ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang pelatih di pusat itu, minggu lepas.

Ahmad Sobri Jamil, 26, Mohd Faza Mohd Kamil, 24, dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa secara bersama membunuh Muhammad Aiman Syahmi Hamdan, 18, di Pusat Pemulihan Tradisional Pondok Darul Hanan Kampung Lambor, Wakaf Baharu, di sini pada 13 Jan 2014 hingga 13 Mac 2014. 

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri. 
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mei bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamiza Ghazali manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan