Mahkamah Rayuan UK Tolak Permohonan Inkuiri Awam Pembunuhan Beramai-Ramai Batang Kali

Diterbitkan: Khamis, 20 Mac 2014 11:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Britain menolak permohonan anggota keluarga bagi inkuiri awam berhubung pembunuhan 24 orang awam yang tidak bersenjata oleh tentera British di Batang Kali, Selangor pada 1948.


Tiga anggota panel hakim yang diketuai Hakim Maurice Kay juga tidak bersetuju dengan peguam yang mewakili kerajaan British bahawa kerajaan Malaysia dan Sultan Selangor bertanggungjawab untuk penugasan tentera di Selangor.

"Kami tidak terpengaruh dengan hujah responden bahawa keputusan untuk mengerahkan tentera di Tanah Melayu dirunding melalui Pesuruhjaya Tinggi.

"Penempatan itu merupakan penghantaran tentera diraja bagi pihak kerajaan United Kingdom dan akibatnya mereka bertanggungjawab atas tindakan tentera," katanya seperti yang dinyatakan dalam dapatan mahkamah yang diberikan kepada media di sini Khamis.

Quek Ngee Meng, penyelaras Jawatankuasa Bertindak mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu memberitahu sidang media berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Britain dalam penghakimannya semalam juga menyatakan bahawa mahkamah terikat dengan duluan kes mahkamah sebelum ini yang memaksa mereka untuk menolak permohonan itu.

Bagaimanapun, Ngee berkata para hakim mengukuhkan dapatan fakta oleh mahkamah lebih rendah di mana mereka yang terbunuh adalah orang awam, tidak bersenjata dan tidak membawa sebarang ancaman kepada tentera.

Mereka (panel) juga menyatakan bahawa semua mangsa dibunuh dalam beberapa minit selepas mereka dibebaskan sebelum kampung mereka terbakar, katanya.
Ngee juga menegaskan bahawa panel berkongsi pandangan bahawa siasatan lepas ke atas pembunuhan beramai-ramai "tidak mencukupi", "berat sebelah" dan "belum selesai".

Ngee, yang juga seorang peguam berkata keterangan dan pengakuan baharu yang dibuat beberapa tentera British mendedahkan bahawa orang awam bukan merupakan satu ancaman dan ini menimbulkan keraguan sebenar berhubung keterangan rasmi kejadian itu yang menyatakan bahawa mangsa-mangsa terbabit terbunuh semasa cuba melarikan diri.

Pada 1948, Batalion Kedua Scot Guards menembak mati 24 orang awam di sebuah ladang getah di Sungai Rimoh di Batang Kali.

Sementara itu, penasihat undang-undang kepada jawatankuasa bertindak itu, Datuk Ahmad Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata mereka menerima arahan daripada anggota keluarga untuk merayu dengan Mahkamah Agung.
Tags / Kata Kunci: Mahkamah Rayuan Britain , batang kali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan