Peniaga Warga Pakistan Bebas Tuduhan Sebabkan Kematian Remaja

Diterbitkan: Khamis, 13 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu membebaskan seorang peniaga warga Pakistan daripada tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan di Kota Marudu dua tahun lalu.

Hakim Ishak Bakri memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Amir Ali Khan Nawaty.

"Setelah menimbang dengan teliti semua bukti yang dikemukakan dalam kes ini, saya dapati tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa kecederaan yang dialami oleh mangsa dan punca kematiannya adalah disebabkan oleh tertuduh.

"Ini bermakna pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh," katanya.

Ishak turut memerintahkan Amir Ali Khan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk memeriksa dokumen perjalanan dirinya.

Amir, 40, didakwa menyebabkan kematian Norikoh Saliwa, 16, di dalam sebuah lori di sepanjang Jalan Km2.8, Jalan Kota Marudu-Langkon antara pukul 11 pagi dan 12.30 tengah hari pada 25 November 2012.

Amir Ali Khan, yang diwakili peguam Rakhbir Singh didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Semasa perbicaraan antara Februari dan September tahun lalu, pihak pendakwa yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin mengemukakan lebih 10 orang saksi.

Sementara itu, Raja Zaizul Faridah berkata pihak peguam kanan persekutuan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan