Komando VAT69 Dapat Arahan Tembak Penceroboh Bersenjata - Saksi

Diterbitkan: Rabu, 12 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini Selasa diberitahu bahawa komando VAT69 mendapat arahan supaya menembak mana-mana penceroboh yang didapati bersenjata dalam pencerobohan di Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu pada 6 Mac tahun lepas.

DSP Anwar Rosdi berkata arahan itu, yang diberi kepada komando dalam operasi 'cut-off' bagi menghalang penceroboh melarikan diri dari Kampung Tanjung Batu, tidak sama dengan arahan yang diberi dalam operasi pengintipan jarak dekat yang dijalankan di Kampung Tanduo.

Peguam Datuk N. Sivananthan: "Dalam keterangan yang diberi, anda berkata anda tidak boleh menembak, kecuali ditembak terlebih dahulu. Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa anda tidak mematuhi arahan itu pada 6 Mac?"

Anwar: "Saya tak setuju sebab arahan itu diberikan untuk operasi di Kampung Tanduo. Bukan di Kampung Tanjung Batu."

Saksi ini juga menafikan bahawa perbuatannya menembak mati dua penceroboh di Kampung Tanjung Batu sebagai suatu kesalahan.

Sivananthan: "Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa anda dan pasukan anda bebas untuk menembak mana-mana penceroboh?"

Anwar: "Saya tak setuju sebab kami boleh menembak mereka yang bersenjata."

Sivananthan: "Saya katakan kepada anda bahawa anda dan pasukan anda gagal mengambil langkah-langkah sewajarnya sebelum menembak mereka."

Anwar: "Saya tak bersetuju sebab mereka bersenjata."

Anwar berkata, terdapat empat pasukan peronda di bawah jagaannya dengan kekuatan 24 anggota, tetapi bukan kesemua mereka terlibat dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan beliau tidak dapat mengingati jumlahnya.

Kata saksi itu walaupun beliau ternampak lima penceroboh bersenjata di Kampung Tanjung Batu, beliau tidak menembak mereka, tetapi memberi arahan kepada anggotanya supaya berbuat demikian.

Terdahulu, Anwar memberitahu mahkamah bahawa pasukan yang ditugaskan di Sektor B dan D dalam operasi pengintipan jarak dekat di Kampung Tanduo pada 1 Mac berada di kawasan Sektor C apabila satu pertempuran berlaku.

Menjawab soalan Sivananthan sama ada beliau memberi isyarat bagi mendapatkan bantuan, Anwar, yang mengetuai pasukan bagi Sektor C, berkata beliau menggunakan walkie-talkie untuk memaklumkan kepada Pemerintah Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun tentang pertempuran yang berlaku di sektornya kerana Abdul Rashid merupakan satu-satunya pegawai yang boleh membuat keputusan tentang siapa yang perlu membantu mereka.

Bagaimanapun, katanya, lebih kurang pada waktu yang sama, Sektor B juga diserang penceroboh bersenjata.

"Apa yang saya tahu, kumpulan saya dan kumpulan B terlibat dengan pertempuran lebih kurang pada 10 pagi kerana kedudukan kami berdekatan dan saya boleh mendengar bunyi tembakan (dari sektor B)," katanya.

Anwar juga memberitahu mahkamah beliau tidak mendapat sebarang mesej daripada orangnya, Korporal Azman Ampong, yang berada di hadapan bersama Korporal Mohd Tarmizi Hashim, bahawa kehadiran mereka dikesan sekumpulan penceroboh bersenjata.

"Saya hanya mendapat mesejnya (Azman) melalui 'walkie-talkie' dua minit selepas pertempuran berlaku. Azman bagi tahu dia terkena tembakan," katanya.

Menjawab soalan Sivananthan sama ada beliau cuba menghubungi Azman untuk bertanya apa yang berlaku sebaik sahaja mendengar tembakan pertama, Anwar berkata beliau tidak mengingatinya kerana keadaan ketika itu begitu kelam kabut.

Tiga puluh tertuduh, yang terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes itu.

Sesetengah mereka menghadapi beberapa pertuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk anggota ke dalam kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Pendengaran di hadapan Hakim Stephen Chung yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah, disambung pada Rabu. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan