Bunuh Anak Teman Wanita: Rakyat Sudan Terlepas Hukuman Mati

Diterbitkan: Isnin, 10 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang rakyat Sudan terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengetepikan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh anak perempuan teman wanitanya, empat tahun lepas.

Selepas Presiden Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan itu, anggota keluarga bekas pelajar kolej Mohannad Taha Ismail dan rakan-rakannya, yang berada di mahkamah, menitiskan air mata dan kelihatan memeluk satu sama lain.

Di luar mahkamah, kesemua mereka mengucapkan "Alhamdulillah" dan sesetengah daripada mereka menangis.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan terakhir Mohannad Taha terhadap sabit kesalahan dan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 September, 2011.

Ketika membuat keputusan sebulat suara, Hakim Md Raus berkata selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat bahawa berdasarkan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati bahawa adalah tidak selamat untuk mengekalkan hukuman itu ke atas perayu (Mohannad Taha).

"Oleh itu, rayuan dibenarkan, mahkamah mengetepikan sabit kesalahan dan hukuman mati ke atas perayu," kata Hakim Md Raus yang mempengerusikan panel hakim lima anggota terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Hasan Lah, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Pada 15 Oktober, 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas Mohannad Taha selepas mendapatinya bersalah membunuh Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kondominium Venice Hill di Cheras antara 7.30 malam dan 8.30 malam pada 12 Oktober, 2009.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohannad Taha berhujah bahawa tiada bukti jelas menunjukkan bahawa anak guamnya telah menyebabkan pendarahan parah pada bahagian kranium mangsa kerana tiada siapapun dalam rumah nampak Mohannad Taha menggoncang mangsa.

Beliau berhujah bahawa keterangan emak mangsa tidak boleh diterima kerana kenyataannya kepada polis didapati bercanggah dengan keterangannya kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya berhujah bahawa satu kesimpulan seharusnya dibuat ke atas perayu memandangkan dia tinggal bersama mangsa dan ibunya selama tiga bulan di rumah itu. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan