Tiga Anggota Polis Bantuan Didenda RM1,000 Kerana Peras Anggota Tentera

Diterbitkan: Rabu, 5 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis bantuan pada Rabu masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah melakukan pemerasan terhadap seorang anggota Tentera Darat pada Ahad lepas.

Majistret, Saifulakmal Said turut memerintahkan Zulkifli Mat Amin, 31, Zuhairi Zuber, 28, dan Fairuz Ezwan Mohammad, 27, menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Saifulakmal berkata, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kepada semua tertuduh kerana ia kesalahan pertama dan mahu memberi peluang kepada mereka.

"Masyarakat meletakkan kepercayaan kepada kamu sebagai polis bantuan untuk menjaga keselamatan awam tetapi kamu sebaliknya telah melakukan peras ugut. Ini bukan caranya," katanya sambil memberi peringatan supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Mohd Asuwan Hussin, 24, sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM400 kepada Zuhairi di sebuah hotel di Jalan Pudu Lama, di sini pada 5 pagi, 2 Februari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, semasa Mohd Asuwan berada di dalam bilik hotel bersama rakannya, beliau didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa polis.

Tiga lelaki itu menyatakan Asuwan berhutang dengan seorang lelaki dikenali sebagai Rashid sebanyak RM2,000, sedangkan Asuwan tidak mengenali lelaki itu.

Mereka tidak mempercayainya dan meminta wang pendahuluan sebanyak RM500 daripada Asuwan untuk melunaskan hutang itu Asuwan menyatakan beliau hanya mempunyai RM400 dan mereka mengambilnya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Chif Inspektor Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap setiap tertuduh, namun peguam Chew Zi Xin yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ringan kerana semua anak guamnya sudah insaf dan mengaku bersalah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan