Kes Lelaki Dituduh Tetak Dan Simbah Asid April Ini

Diterbitkan: Rabu, 5 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang menghadapi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan, menetak dan menyimbah asid terhadap dua individu pada 2011 dan 2012, akan dibicarakan di dua Mahkamah Sesyen di sini pada April.

Pemilik kedai mencuci kenderaan, Mohd Nurfino Omar, 30, yang dituduh menetak pengusaha hotel Abdul Aziz Dollah, 50, pada 2011 akan dibicarakan pada 27 dan 28 April.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menetapkan tarikh perbicaraan itu pada Rabu terhadap Mohd Nurfino yang didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menetak Abdul Aziz menggunakan parang, di sebuah hotel di Jalan Sri Cemerlang, antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 19 Jun 2011.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 29 dan 30 April sebagai tarikh perbicaraan bagi Mohd Nurfino yang dituduh menetak dan menyimbah asid ke atas seorang penjaga bot Mohd Khaidzir Hanafi, 33.

Bagi pertuduhan kedua itu, dia didakwa bersama tiga orang yang masih bebas melakukan perbuatan menetak dan menyimbah asid terhadap Mohd Khaidzir di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Purut, Nilam Puri di sini antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi, 13 Februari 2012.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan pertama itu, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala pertuduhan kedua pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali.

Tertuduh bagi kedua-dua kes itu diwakili peguam Latifah Ariffin dan Mohd Zubairi Salleh.

Pada 5 Januari lepas, Mohd Nurfino membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Yusoff dan tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan