Anggota Polis Didakwa Terima Rasuah Daripada Warga Asing

Diterbitkan: Rabu, 5 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Rabu terhadap dua pertuduhan menerima rasuah daripada warga asing, dua tahun lepas.

Lans Kpl Mohd Azreey Ramlan, 27, yang bertugas di Pondok Polis Sri Makmur, Pekan didakwa menerima suapan RM300 daripada seorang warga Indonesia Herman Sandika.

Suapan itu kononnya sebagai ganjaran kerana memberi maklumat awal berhubung operasi polis dan Jabatan Imigresen kepada Herman dan sembilan rakannya yang tidak mempunyai permit kerja yang sah di rumah kongsi tidak bernombor di Kampung Belimbing, Pekan, pada 4 petang, 30 November 2011.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM300 daripada individu yang sama pada 7.50 malam pada hari dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 19 Feb bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shafinaz Shabudin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan